LAGU Ulek Mayang merupakan lagu rakyat terkenal masyarakat Terengganu. Sehingga kini, lagu ini terus dikaitkan dengan unsur-unsur mistik.

Di sebalik lagu ini, terdapat banyak mitos dikaitkan dengan kisah tujuh puteri yang disebut dalam lagu tersebut. Paling popular, ia dikaitkan dengan perjuangan seorang dukun bertarung dengan tujuh puteri dari alam bunian yang mengganggu seorang nelayan. Kerana itu lagu ini sinonim dengan laut.

Terdapat beberapa versi cerita tentang puteri tujuh ini. Salah satunya seperti yang ditulis dalam buku ‘101 Puteri Dunia Melayu – Sejarah dan Legenda’ terbitan Jabatan Muzium dan Antikuiti. Kisah ini mungkin versi yang jarang kita dengari.

Begini ceritanya…

Ulek Mayang salah satu tarian dan nyanyian yang popular berasal dari Terengganu.

Di alam kayangan terdapat sebuah kerajaan bernama Daha Bumatra. Raja Kayangan itu mempunyai tujuh orang puteri jelita bernama Mayang Mengurai, Mayang Mawar, Mayang Pinang, Mayang Cempaka, Mayang Kenanga, Mayang Melur dan Mayang Sari. Tujuh puteri yang digelar ‘Puteri Umbuk Mayang’ ini ditatang bagai minyak yang penuh dan dilarang keluar dari istana.

Semasa kecil, ketujuh puteri itu amat akrab. Namun, keadaan berubah apabila mereka meningkat dewwasa. Enam puteri itu berasa cemburu terhadap puteri bongsu, Mayang Sari kerana merasakan orang tua mereka lebih mengasihinya. Sebab itu, Mayang Sari sering dipulaukan kakak-kakaknya.

Suatu hari, bagi menghiburkan hatinya yang sepi, ketika semua orang tidur nyenyak, Mayang Sari senyap-senyap keluar dari istana lalu meluncur terbang ke bumi.

Dari ruang angkasa, Mayang Sari terlihat satu kawasan tasik yang indah, airnya berkilauan terkena biasan cahaya bulan. Lalu dia turun mendarat di situ. Tasik itu bernama Tasik Paloh Mengkuang.

Ketika sedang duduk di tepi tasik itu, Mayang Sari terdengar sayup-sayup bunyi siulan. Dia mengintai dan melihat yang bersiul itu adalah seorang pemuda tampan. Kali pertama melihat pemuda itu, Mayang Sari telah jatuh cinta kepadanya.

Tiga purnama selepas itu, Mayang Sari turun lagi ke bumi. Dia ke tasik itu dan mencari-cari pemuda tersebut, namun tidak kelihatan. Dia pulang semula dengan rasa hampa.

Pada purnama keempat, Mayang Sari turun lagi ke tasik itu dan pemuda tersebut ada di situ. Mayang Sari menegurnya dan mereka saling berkenalan.

Pemuda itu bernama Awang. Dia berada dalam keadaan berduka kerana ibunya sedang sakit tenat. Menurut pawang, penyakit ibunya hanya boleh dipulihkan dengan menghidu haruman bunga bakawali. Bunga itu pula hanya ditanam di alam Kayangan.

Kehadiran Mayang Sari bagaikan membuka jalan kepada Awang. Pemuda itu merayu memohon puteri bongsu itu untuk membawakan sekuntum bunga bakawali dari Kayangan untuk memulihkan ibunya.

Pada awalnya, Mayang Sari agak keberatan kerana sukar untuk membawa keluar bunga itu dari taman larangan istana tanpa pengetahuan ayahandanya. Namun, setelah Awang merayu sehingga menitiskan air mata, Mayang Sari setuju membantunya.

Sementara itu, ketika Mayang Sari berada di bumi, Raja Kayangan telah memanggil kesemua puterinya datang mengadap. Namun, hanya enam puteri yang hadir.

Raja Kayangan tahu Mayang Sari keluar dari istana kerana layanan buruk kakak-kakaknya. Lalu dia menasihatkan keenam-enam anaknya itu berubah sikap agar hubungan tujuh puteri itu kembali erat.

Apabila Mayang Sari pulang ke istana, kakak-kakaknya memohon maaf di atas kelakukan buruk mereka dan berjanji akan saling mengasihi antara satu sama lain.

Mayang Sari yang gembira memafkan semua kekandanya. Kemudian, dia menceritakan pengalamannya turun ke bumi dan keindahan tasik yang ditemuinya serta persahabatannya dengan seorang pemuda bumi bernama Awang.

Mayang Sari meminta pertolongan kakak-kakaknya mendapatkan keizinan ayahanda mereka untuk turun ke bumi menghantar sekuntum bunga bakawali kepada Awang bagi memulihkan kesihatan ibunya.

Kekanda Mayang Sari setuju membantu. Mereka juga mahu turun ke bumi dan melihat keindahan bumi seperti diceritakan oleh Mayang Sari.

Maka puteri tujuh beradik itu pergi menghadap ayahanda mereka. Raja Kayangan pada mulanya keberatan memperkenankan hajat puteri-puterinya itu, tetapi akhirnya mengalah apabila mereka merayu berulang kali. Syaratnya, kesemua mereka mesti pulang segera ke istana kayangan.

Maka berterbanganlah Puteri Umbuk Mayang tujuh beradik itu menuju ke Tasik Paloh Mengkuang. Awang sudah sedia menanti di tasik itu. Gembira tidak terpalang hatinya apabila melihat Mayang Sari menjelma di hadapannya membawa sekuntum bunga bakawali. Mayang Sari turut memperkenalkan keenam-enam kekandanya kepada Awang.

“Sekiranya perlukan bantuan, serulah kami semua. Perasaplah kemenyan pada mayang, serulah nama kami satu persatu bagaikan lagu. Pasti kami akan menjelma,” beritahu Mayang Sari kepada Awang.

Walaupun berat hati berpisah kerana Mayang Sari dan Awang sudah saling menyukai, namun mereka harus pergi. Tujuh puteri itu segera pulang ke Kayangan, manakala Awang juga cepat kembali ke rumah membawa bunga bakawali.

Selang beberapa hari, ibu Awang pulih dari sakitnya. Setelah sihat, ibunya membuat keputusan untuk menjodohkan Awang dengan Puteri Puspa, anak ketua kampung mereka.

Awang tidak setuju dan menjelaskan dia hanya mahu berkahwin dengan Puteri Mayang Sari, namun ditolak ibunya yang merasakan tidak mungkin makhluk dari dua alam berbeza boleh berkahwin.

Awang tetap membantah perkahwinan yang diatur ibunya. Dia tidak lalu makan sehingga jatuh sakit. Mulutnya sentiasa menyebut nama Mayang Sari.

Dalam keadaan tidak berdaya, Awang berjalan menuju ke Tasik Paloh Mengkuang bersama rindunya kepada Mayang Sari. Tiba di tasik itu, diasapnya kemenyan pada mayang pinang lalu dia menyanyi menyeru Puteri Mayang Sari dan kekanda-kekandanya agar turun ke bumi. Dikatakan daripada nyanyian Awang itu terhasil lagu Ulek Mayang.

Sementara itu di Kayangan pula, Raja mahu menjodohkan Mayang Sari dengan Dewa Gempita, seorang pembesar yang bengis.

Mayang Sari membantah perkahwinan itu dan menangis siang malam kerana cintanya hanya untuk Awang, pemuda bumi. Kakak-kakaknya sedih melihat keadaan adik bongsu mereka, lalu sepakat mahu melarikan  Mayang Sari keluar dari istana Kayangan.

Semasa mereka hendak keluar, Raja telah melihat mereka dan memberi amaran kepada tujuh puteri itu. Jika mereka melangkah keluar, mereka tidak diizinkan kembali semula ke Kayangan.

Walaupun Puteri Umbuk Mayang tujuh beradik itu terkejut dengan amaran ayahanda mereka, namun mereka sepakat tetap terbang keluar meninggalkan istana itu, membawa Mayang Sari menuju ke Tasik Paloh Mengkuang.

Dari jauh mereka sudah mendengar rintihan dan suara pilu Awang yang menyanyikan lagu Umbuk Mayang mendayu-dayu.

Awang pula apabila melihat satu demi satu puteri tujuh beradik muncul di depannya, dia bagaikan mendapat tenaga dan sihat kembali terutama apabila melihat Mayang Sari yang dicintainya muncul di depan mata. Keduanya saling bertangisan.

Awang meminta agar puteri itu tidak meninggalkannya lagi. Mayang Sari juga berjanji tidak akan pergi dan mereka berdua akan hidup bersama sepanjang hayat.

Akibat melanggar larangan ayahanda mereka, keenam-enam kekanda Mayang Sari tidak dapat lagi kembali ke istana Kayangan. Namun, mereka tidak menyesal dan gembira berkorban untuk adik bongsu mereka. Keenam puteri itu juga membuat keputusan untuk terus menetap di bumi.

Sebelum mereka bertujuh berpisah, mereka berjanji akan bertemu setiap bulan purnama di Tasik Paloh Mengkuang.

Setelah itu, Puteri Mayang Mengurai berangkat ke Bukit Puteri. Puteri Mayang Mawar terbang ke Pulau Redang manakala Puteri Mayang Pinang menuju ke Pulau Perhentian.

Puteri Mayang Cempaka pula pergi ke Bukit Cendering dan Puteri Mayang Kenanga menjaga Pulau Kapas. Puteri Mayang Melur pergi bertapak di Gunung Tebu.

Manakala Puteri Mayang Sari yang berkahwin dengan Awang pula membina kehidupan bahagia di sekitar Tasik Paloh Mengkuang dan sesekali akan berada di puncak Bukit Bucu dan Pulau Bidong.

Demikianlah kisah Puteri Umbuk Mayang tujuh beradik. Salah satu mitos yang dikaitkan dengan lagu Ulek Mayang.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.comFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare