Hetty Koes Endang bakal mengadakan Konsert Jubli Emas pada ogos nanti ketika mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENYANYI legenda dari Indonesia, Hetty Koes Endang mengumumkan bahawa dia akan lebih mengutamakan konsert berkonsepkan amal jariah selepas ini dan enggan meraih populariti lagi.

Luah penyanyi berusia 65 tahun itu, dia merasakan sudah tiba masanya untuk dia tidak mengejar kemewahan lagi serta bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan kepadanya kini.

Tambah Hetty, ramai lagi pihak seperti ahli muzik dan penyanyi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 lebih layak dibantu dan diberi perhatian.

“Sekarang ini segala konsert (saya) bukan bertujuan untuk mencari wang yang banyak.

“Saya tidak mahu cari kemewahan lagi. Saya hanya mahu membuat persembahan amal sahaja.

“Hal ini kerana banyak lagi ahli muzik di Indonesia mahupun di Malaysia yang perlu dibantu. Dua tahun pandemik adalah bukan mudah untuk para penyanyi dan ahli muzik.

“Saya, Alhamdulillah, Allah sayang. Ada saja rezeki. Selain menyanyi, saya juga ada bisnes sendiri,” katanya kepada URTV.

Hetty Koes Endang bakal mengadakan Konsert Jubli Emas pada ogos nanti ketika mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hetty berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.

Apa yang lebih menarik, Hetty bakal bergabung dengan pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS dalam konsert yang akan diadakan pada 27 Ogos itu nanti.

Pelantun lagu Berdiri Bulu Romaku itu turut meluahkan rasa cinta terhadap negara Malaysia dan sudah menganggap seperti rumah keduanya.

Tambah Hetty, atau mesra dipanggil sebagai Bunda itu, kenangan yang paling dirindui ketika berada di tanah air adalah ketika bulan Ramadan.

“Saya tinggal di Malaysia selama lima tahun dari tahun 1991. Tiga tahun saya di Damansara dan dua tahun di Johor. Malaysia dah jadi rumah kedua saya.

“Banyak kenangan yang saya rindukan mengenai Malaysia dan paling saya rindukan adalah, juadah yang dijual di tepi jalan pada bukan Ramadan,” ujarnya.

Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang yang dianjurkan Mahakarya Empire Sdn Bhd akan berlangsung di Manhattan Ballroom, Berjaya Time Square Hotel Kuala Lumpur. 

Tiket-tiket konsert dijual dengan harga bermula RM4,560, RM6,640, RM8,700, dan RM11,700.

Tiket boleh dibeli secara atas talian di ILASSOTICKETS.COM.