Universiti Teknologi Mara. GAMBAR: Selangor Royal Office

SULTAN Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah telah menitahkan supaya nama Persiaran Institut terletak di Seksyen 1, Shah Alam ditukarkan kepada Persiaran Tun Arshad Ayub.

Dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Istana Alam Shah memaklumkan, pertukaran nama itu bersempena Pengarah Pertama Institut Teknologi Mara yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Allahyarham Arshad.

Menurut kenyataan itu, titah Sultan Selangor itu telah pun diluluskan.

Katanya, ia akan dikuatkuasakan serta-merta oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pertukaran nama persiaran ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer yang bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 iaitu di hadapan pintu masuk utama UiTM hingga ke persimpangan lampu isyarat berhampiran Universiti Selangor (Unisel) di Seksyen 7, Shah Alam.

“Penukaran nama itu adalah bagi mengenang jasa Allahyarham Arshad yang merupakan tokoh pendidikan negara yang dihormati dan disegani serta banyak berjasa dalam memperkasa sistem pengajian tinggi khususnya pembangunan UiTM,” kata kenyataan itu.

Arshad yang juga tokoh pendidikan negara menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun pada pukul 2.06 pagi, 14 Jun lalu.

Baca artikel berkaitan: Agong zahir takziah pemergian Tun Arshad Ayub

Allahyarham merupakan pengarah pertama ITM sejak tahun 1967 hingga 1975.

Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan badan berkanun.

Dilahirkan pada 15 November 1928, Arshad telah memperolehi Diploma Pertanian dari Kolej Pertanian di Serdang, Selangor.

Beliau kemudiannya dianugerahkan biasiswa Pembangunan dan Kolonial untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Aberystwyth Wales di United Kingdomg (UK) sekali gus memperoleh Ijazah Kepujian dalam Ekonomi dan Statistik pada tahun 1958.

Pada tahun 1964, beliau telah berjaya memperoleh Diploma Pentadbiran Perniagaan daripada Institut Pembangunan Pengurusan di Lausanne, Switzerland.

Arshad telah dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tahun 2020.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram