PANDEMIK telah meningkatkan perniagaan e-dagang. - Gambar hiasan Internet

Oleh MAHADHIR AZIZ

JIKA jumlah wang tunai dalam dompet anda kurang daripada jumlah dalam e-Dompet, jangan risau kerana anda tidak bersendirian.

Menurut kajian Kaedah Pembayaran Pengguna Visa 2021, tujuh daripada 10 orang rakyat Malaysia telah mencuba untuk beralih kepada pembayaran tanpa tunai tahun lalu.

Menurut data terkini Bank Negara Malaysia (BNM), purata transaksi pembayaran digital per kapita telah berkembang lebih empat kali ganda dalam tempoh 10 tahun lalu, meningkat daripada 49 transaksi pada tahun 2011 kepada lebih 221 transaksi per kapita pada tahun 2021.

Pada tahun lalu sahaja, lebih 7.2 bilion transaksi dilakukan menerusi saluran pembayaran elektronik (e-Bayar) di Malaysia, meningkat sebanyak 30 peratus dari tahun ke tahun (YoY), menjadikannya pertumbuhan terbesar sejak 2006.

Penerimaan dan penggunaan pembayaran digital di Malaysia telah berkembang dengan ketara sejak sedekad lalu, tetapi revolusi tanpa tunai ini hanya mula diterima pakai secara meluas semasa pandemik COVID-19.

Revolusi pembayaran digital adalah berterusan. Menurut kajian khusus oleh IDC dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkenaan pasaran pembayaran digital di Malaysia, nilai kasar transaksi e-Dagang (GTV) negara dijangka akan mencecah US$6 bilion (RM25.2 bilion) pada tahun 2022, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding US$3 bilion (RM12.6 bilion) pada tahun 2019.

Kajian berkenaan menjangkakan GTV e-Dagang akan meningkat kepada US$13 bilion (RM54.6 bilion) menjelang 2025, dengan hampir semua transaksi akan menggunakan pembayaran digital.

Memacu Sektor Teknologi Kewangan Malaysia
MDEC and BNM akan terus membuka ruang kepada pengadaptasian bayaran tanpa tunai yang dilihat menjadi tunjang dalam mengukuhkan landskap teknologi kewangan tempatan.

Pada Ogos 2020, MDEC dengan kerjasama BNM, telah membangunkan inisiatif Penggalak Teknologi Kewangan yang bertujuan untuk membangunkan kapasiti dan membantu syarikat pemula teknologi kewangan tempatan dan asing dalam membina produk dan perkhidmatan mereka di Malaysia.

Sejak inisiatif berkenaan dilancarkan, lebih 30 bengkel telah dianjurkan untuk membantu syarikat pemula dalam mengenal pasti persekitaran kawal selia dan undang-undang yang meliputi topik seperti perbankan digital, Teknologi Kewangan Islam, percukaian dan keselamatan siber.

Setakat tahun 2020, Malaysia telah melahirkan 233 firma teknologi kewangan yang mencatatkan pertumbuhan dua digit pada tahun 2019 dan juga 2020.

Melalui Rangka Tindakan Sektor Kewangan Malaysia 2022-2026, kerajaan merancang untuk menyemak semula model akses RENTAS untuk memperluaskan penyertaan kepada penyedia perkhidmatan pembayaran bukan bank (PSPs) serta meneroka aplikasi inovasi teknologi seperti mata wang digital bank pusat (CBDC) dan teknologi lejar teragih (DLT).

Rangka Tindakan ini juga menggariskan imperatif strategik yang memanfaatkan perkembangan pantas pendigitalan.
Tambahan lagi, Malaysia sedang menuju ke arah ‘Teknologi Kewangan 4.0’, dan ianya digerakkan oleh kemunculan skala dalam konteks platform kewangan.

Berikutan peningkatan adaptasi e-Dompet, e-Dagang, BNPL dan penyedia kewangan digital lain, syarikat teknologi kewangan, bank dan penyedia pembayaran telah memperoleh akses langsung kepada corak dan demografi pembeli.

Analitik digerakkan AI yang disokong oleh kumpulan data pelanggan yang besar akan membolehkan firma teknologi gergasi menjadi pengantara kewangan yang menawarkan rangkaian perkhidmatan kewangan digital yang semakin berkembang seperti kredit, insurans, peruntukan pinjaman dan pengurusan pelaburan kepada pasaran yang kurang mendapat perhatian.

Pada akhirnya, apabila populasi Malaysia semakin memahami kemudahan saluran e-Bayar dan perkhidmatan kewangan digital dalam norma baharu, kita akan terus mengamalkan prinsip “digital didahulukan” dalam setiap transaksi kewangan.

  • PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif MDEC.