PENGACARA dan pelakon terkenal Neelofa akan tetap dengan pendirian menutup wajah anaknya, Muhammad Bilal demi mengutamakan kesihatan dan keselamatannya.

Memetik laporan Mstar, selebriti berusia 33 tahun itu menganggap mana-mana pihak yang mengkritik tindakannya menutup wajah anak seperti tidak mempercayai kewujudan penyakit ain.

Bekas pengacara program televisyen MeleTOP itu turut berkata dia dan suaminya, Haris Ismail, 27, akan tetap mengutamakan kesejahteraan anaknya itu meskipun mereka dikecam netizen.

“Jika ada yang mempermainkan mengenai perkara itu, seolah-olah mereka main-mainkan kewujudan ‘ain’ la. Bukan mereka sindir saya sebenarnya.

“Malah hal itu di dalam hadis sahih pun sudah ada. Saya tidaklah arif sangat mengenai perkara ini, tapi perkara itu mungkin boleh melangkaui takdir.

“Saya tetap akan buat (tutup wajah anak) walau orang kecam macam mana sekali pun, kami fikir mengenai kesihatan serta kesejahteraan anak,” katanya.

Terdahulu, Neelofa pernah berkongsi di sesi siaran langsung menerusi Instagram miliknya bahawa dia tidak akan berkongsi wajah sebenar putera sulungnya itu buat masa ini untuk mengelak daripada terkena penyakit ain.

Tambah Neelofa, dia juga mahu anaknya membesar seperti kanak-kanak lain dan hanya akan berkongsi wajah Bilal apabila tiba masa yang sesuai.

“Tunggu bagi dia besar sikit. Bukanlah nak sorok atau tak mahu bagi orang tengok, tidak. Kalau boleh saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Beri masa dia untuk kuat sikit, barulah kita akan bawa dia keluar dan sebagainya,” ujarnya.

Untuk info, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021.