hadi awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“ORANG yang cakap itu tak tahu, orang yang jahil politik.”

Demikian kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membidas pihak yang melabelkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara.

Sambil menyifatkan pihak itu sebagai ‘jahil politik’, Abdul Hadi menganggap tindakan menuduh Ismail Sabri itu sebagai tidak betul.

Menurut beliau, tidak adil untuk meletakkan keseluruhan beban ke atas bahu Perdana Menteri semata-mata.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu menganggap Ismail Sabri bersama barisan Kabinet telah berjaya menangani banyak masalah dalam suasana yang sangat mencabar.

“Tak betul, itu salah (tuduh Ismail Sabri Perdana Menteri paling lemah)…tak boleh beban atas dia seorang. Semua Perdana Menteri memerintah secara kolektif dengan Kabinet.

“Alhamdulillah, (Ismail Sabri) berjaya menangani banyak masalah dalam suasana yang sangat mencabar, wabak COVID-19 belum lagi habis dan masalah inflasi yang melanda seluruh dunia, bukan Malaysia sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Selar terbuka Ismail Sabri: Nur Jazlan wajar dikenakan tindakan disiplin

Rakaman video percakapannya itu dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Abdul Hadi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Ismail Sabri bersama barisan Kabinet telah menjalankan tanggungjawab dengan baik setakat ini.

Selain cabaran semasa, beliau berkata, Perdana Menteri terpaksa memikul beban hasil peninggalan kerajaan terdahulu yang perlu dibaiki semula.

“Alhamdulillah, pencapaian (Ismail Sabri dan Kabinet) baik dalam keadaan yang mencabar. Nak selesai 100 peratus tak boleh tetapi banyak yang selesai.

“Kita kena beri sokongan kepada Perdana Menteri dan Kabinet,” jelas beliau.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyelar Ismail Sabri dengan menyifatkan beliau sebagai Perdana Menteri dari UMNO yang bercelaru, menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu dan paling lemah dalam sejarah negara.

Alasan digunakan Nur Jazlan ialah kerana Ismail Sabri dikatakan lambat membuat keputusan mengenai kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Kabinet setelah keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) 26 Mei lalu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram