Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2021 hari ini. GAMBAR: Ihsan Media UMNO

KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini adalah kerajaan yang mementing dan meletakkan kesulitan rakyat sebagai dasar utama yang perlu ditangani.

Demikian reaksi Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berikutan langkah kerajaan menarik balik pengapungan harga ayam dan tidak menaikkan kadar tarif elektrik.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri berhubung keputusan itu beliau berkata, ia satu keputusan bijak yang pro rakyat ketika masyarakat hari ini berdepan dengan kos sara hidup yang semakin menekan.

“Sememangnya pengumuman ini akan melegakan rakyat yang sangat berharap agar kerajaan mendengar keluhan mereka.

“Keputusan berani yang diumumkan Perdana Menteri adalah satu langkah drastik bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, Wanita UMNO menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu.

Wanita UMNO katanya yakin dan percaya bahawa keputusan itu berupaya melegakan hati rakyat daripada tertekan dengan kapitalis dalam mengambil kesempatan khususnya menaikkan harga ayam.

“Selain itu, keputusan ini juga memberi isyarat yang jelas bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri hari ini adalah kerajaan yang mementing dan meletakkan kesulitan rakyat sebagai dasar utama yang perlu ditangani,” tambahnya.

Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung selain memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.