Penerbit, Datuk A.Aida bersama peguamnya, Ashamdi Othman (kiri) dan pengarah Drama, Riza Baharudin (kanan) menfaikan saman terhadap dua pelakon, Amelia Henderson dan Idris Khan yang menarik diri saat akhir bagi penggambaran drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ ketika mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENERBIT dan pengarah terkenal, Datuk A Aida mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon Amelia Henderson dan Idris Khan selepas didakwa menarik diri daripada drama Sekali Lagi Cinta Kembali sekaligus melanggar kontrak yang ditetapkan produksinya.

Menerusi sidang media yang diadakan petang tadi, A Aida mendedahkan kedua-dua pelakon terbabit bertindak menarik diri pada 16 Jun iaitu sehari sebelum drama 28 episod tersebut memulakan penggambaran.

“Saya mengambil tindakan undang-undang kerana ini sudah kali ketiga saya ditipu oleh hero dan heroin sendiri.

“Sebelum ini saya sudah kena tapi tak ambil tindakan, namun kali ini sebab ‘last minute’! Sehari sebelum penggambaran baru beritahu mahu tarik diri,” kata A Aida kepada URTV.

AMELIA HENDERSON dan Idris Khan berdepan tindakan saman

Malah, alasan penarikan diri dua pelakon terbabit disifatkan tidak munasabah memandangkan persetujuan sudah dilakukan lebih awal.

Ujar A Aida yang merupakan pemilik A Aida Productions, pihak pengurusan Amelia memaklumkan aktres itu menarik diri disebabkan skrip yang tidak mengikut kehendaknya.

Penerbit, Datuk A.Aida menfaikan saman terhadap dua pelakon, Amelia Henderson dan Idris Khan yang menarik diri saat akhir bagi penggambaran drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ ketika mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Untuk Amelia begitulah alasannya, Idris Khan pula katanya dia ikut serta berlakon dalam drama ini adalah disebabkan Amelia.

“Jadi, bila Amelia tarik diri, dia juga menarik diri untuk tidak terlibat dalam drama itu. Tak profesional langsung!,” jelasnya lagi.

Penerbit, Datuk A.Aida menfaikan saman terhadap dua pelakon, Amelia Henderson dan Idris Khan yang menarik diri saat akhir bagi penggambaran drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ ketika mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Jelas A Aida, dia menanggung kerugian mencecah sehingga RM 150 ribu bagi projek drama mega yang memakan bajet bernilai RM1 juta.

Ia termasuklah kerugian dari segi lokasi, kru produksi dan pembayaran pendahuluan yang sudah diberikan kepada dua pelakon berkenaan.

Sementara itu, peguambela dan peguamcara dari Zulpadli dan Edham iaitu Ashmadi Othman berkata, tindakan undang-undang wajar diambil memandangkan ada berlaku pelanggaran kontrak oleh dua artis itu dan tindakan selanjutnya bakal diambil dalam tempoh sebulan.

Menurutnya lagi, notis telah dihantar kepada kedua-dua pelakon itu pada Rabu lalu.

“Mereka juga sudah diberitahu awal oleh pihak produksi berkenaan tindakan saman yang bakal dikenakan selepas sehari mereka menarik diri.

“Kami dalam proses mengambil tindakan selanjutnya ke atas dua pelakon itu dan mungkin akan mengambil masa sebulan.

“Sekarang kita sedang ‘finalise’ semula jumlah amaun kerugian kerana apa yang kita hantar ke mahkamah sekarang hanya amaun pada tarikh 16 haribulan itu sahaja.

“Memang apa yang mereka lakukan ini melibatkan pemungkiran kontrak dan saya memuji pihak A Aida Production kerana selepas sehari mereka tarik diri terus mengeluarkan surat mengesahkan mereka melanggar kontrak,” jelasnya.

Selain Aida, pengarah bagi drama Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Riza Baharudin turut meluahkan kekecewaan dengan kedua pelakon itu kerana tidak profesional selain memberikan alasan yang tidak masuk akal.

“Masa datang untuk sesi pembacaan skrip masing-masing teruja untuk berlakon tapi bila tarik diri dengan alasan yang tak munasabah…saya kecewa,” ujarnya.

Difahamkan, penggambaran drama tersebut terpaksa ditangguhkan selama seminggu sebelum digantikan dengan pelakon lain iaitu Siti Khadijah Halim dan Aniq Suhair.