Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGARAH Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau memberikan wang RM100,000 dan seutas jam tangan jenama Maurice Lacroix bernilai RM43,000 kepada Lim Guan Eng sempena ulang tahun kelahirannya.

Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 62, berkata sekitar 2015, beliau membawa wang tunai RM100,000 yang diisi di dalam sampul surat putih serta jam tangan berwarna hitam ke pejabat Lim yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, di Tingkat 28, Menara KOMTAR.

“YB Lim Guan Eng dan saya sahaja di bilik beliau dan setelah duduk bersembang seketika, YB Lim ada bertanya mengenai projek terowong. Saya memberitahu kepada YB Lim yang sekarang masih lagi dalam peringkat untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan.

“Kemudian saya memberitahu YB Lim yang saya ada membawa hadiah untuk beliau sempena hari jadinya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Saksi pendakwaan ke-23 berkata beliau kemudian menyerahkan wang RM100,000 dan jam tangan tersebut lengkap bersama kotak berwarna hitam kepada Lim, namun Lim memberikan kembali sampul putih berisi wang itu kepadanya dan hanya menerima jam tangan diberikan.

“YB Lim kelihatan gembira apabila menerima jam tangan dari saya dan selepas itu, saya beredar dari pejabatnya. Saya tidak pula melihat YB Lim memakai jam yang saya berikan itu. Saya tidak rasa apa-apa apabila YB Lim tolak pemberian wang RM100,000 tersebut,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Saya tiada niat jahat terhadap Lim Guan Eng – Pengarah Zenith Construction

Zarul Ahmad berkata Lim tidak pernah meminta jam tangan itu sempena hari jadinya tetapi beliau sendiri membeli jam tangan itu menggunakan cek daripada akaun bank UOB Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, semata-mata untuk memastikan pelaksanaan projek terowong itu berjalan lancar dengan Kerajaan Pulau Pinang.

Sementara itu, Zarul Ahmad berkata sekitar Disember 2014, beliau memberikan wang RM100,000 yang diletakkan dalam satu sampul putih kepada Lim sempena ulang tahun kelahirannya di pejabat Lim.

“Saya menyerahkan sampul putih itu kepada YB Lim dan beliau terima sampul putih yang berisi wang RM100,000 itu daripada saya setelah saya hulur kepadanya. YB Lim tidak bertanya apa kandungannya dan dia juga tidak menolak.

“YB Lim kelihatan gembira setelah menerima sampul tersebut dan wang RM100,000 itu adalah sebahagian wang rasuah daripada 10 peratus yang diminta oleh beliau daripada keuntungan syarikat saya,” katanya.

Menurut saksi itu, beliau memperolehi sumber wang daripada jualan tanah Lot 702 kepada Ewein Zenith Sdn Bhd milik Datuk Ewe Swee Kheng dan ZCSB telah menerima bayaran daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui tanah Lot 702 setelah mendapat kelulusan kajian kebolehlaksanaan untuk tiga jalan utama.

“Saya menyimpan sebahagian daripada sumber tersebut dalam bentuk tunai untuk membuat sumbangan kepada YB Lim Guan Eng,” katanya.

Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Lim yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi Isnin depan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram