Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. GAMBAR: FACEBOOK Rasmi Sultan Ibrahim

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menegaskan perhimpunan jalanan seperti yang dicadangkan seorang pemimpin DAP bukan cara bertanggungjawab mencari penyelesaian yang membina.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah, suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

Dalam hantaran di Facebook rasminya, Sultan Ibrahim turut menegur pemimpin supaya tidak membuat kenyataan berbaur hasutan kerana perkara itu tidak membantu menyelesaikan masalah.

“Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969, dan tidak lama dahulu, Perhimpunan Bersih?

“Ia tidak mencapai sebarang matlamat selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita, tiada yang menang.

“Semuanya akan rugi dan kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu. Undang-undang negara kita mesti dihormati,” titah Sultan Johor.

Baca artikel berkaitan: Sultan Johor terima kunjungan Amy Search

Sultan Ibrahim turut bertitah perhimpunan jalanan juga akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan pemulihan negara daripada pandemik COVID-19.

“Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” titah baginda.

Rabu lepas, Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali dilaporkan mencadangkan rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup.

Sheikh Umar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh dipetik sebagai berkata jika sejuta orang dapat dihimpunkan di tengah Kuala Lumpur, mungkin barulah kerajaan akan membuka mata mengenai kesusahan rakyat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram