PADA hari ini, di mana-mana bangunan sudah tersedia tempat letak kereta jenis bertingkat. Tidak kisah dua tingkat, tiga tingkat malah 10 tingkat sekalipun, tempat letak kenderaan bertingkat begini lebih mudah dan efisyen.

Tahukah anda, di mana tempat meletak kereta bertingkat pertama di negara kita?

Ramai yang tidak tahu, bangunan parkir bertingkat pertama yang dibina di Malaysia terletak di Perak. Ia kini dikenali sebagai ‘Tempat Letak Kereta Bertingkat, Jalan Dato Maharajalela’.

Terletak di Ipoh, inillah parkir bertingkat pertama di negara kita. – GAMBAR dari Ipoh Heritage.

Terletak di Jalan Dato Maharajalela di bandar Ipoh, bangunan untuk memakir kenderaan ini juga dikenali sebagai Municipal Car Park. Pada hari ini mungkin ia dilihat sebagai bangunan lama yang tampak suram dan tiada daya tarikan, tetapi bangunan ini mempunyai nilai dan sejarah tersendiri.

Bangunan yang dibina khas sebagai tempat letak kereta ini dibina pada tahun 1962 dengan kos sebanyak $100,000. Ia dibina di lereng bukit dengan mempunyai tiga tingkat untuk meletak kenderaan.

Pembinaannya mengambil masa selama enam bulan dan ia boleh memuatkan sebanyak 96 buah kenderaan. Bangunan ini telah dirasmikan pada 26 April 1963 oleh Almarhum Sultan Idris II (Sultan Perak ke 33).

Keratan akhbar perasmian parkir bertingkat ini. GAMBAR – OrangPerak.com
Parkir bertingkat pertama di Malaysia.

Sewaktu ia mula beroperasi, kadar sewa bulanan dikenakan kepada mereka yang mahu memakir kenderaan di bangunan ini. Sewa tingkat paling bawah berharga $25, tingkat satu $20 manakala tingkat paling atas yang tidak berbumbung berharga $12.

Manakala bahagian luar bangunan di kawasan terbuka, juga disewakan secara bulanan untuk parkir kenderaan. Kereta berharga $15 dan motor $5 sebulan.

Dalam tahun 1965, pihak majlis mampu mengumpulkan lebih $18,000 hasil sewaan parkir kenderaan di bangunan itu.

Sehingga hari ini, bangunan parkir pertama dalam negara kita ini masih lagi digunakan dan dikawal selia oleh Majlis Bandaraya Ipoh.

INFO TAMBAHAN :

  • Bangunan parkir bertingkat pertama dibina di London pada 1901.
  • Parkir bawah tanah pertama dibina di Barcelona pada 1904.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.comFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare