PENGARAH  Syamsul Yusof memberi amaran kepada segelintir netizen yang memuat naik babak filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan secara haram dan akan berdepan tindakan undang-undang.

Menurut pengarah berusia 38 tahun itu di Instagram, pengguna media sosial diingatkan untuk tidak memuat naik sebarang klip video filem arahannya supaya tidak berhadapan dengan tindakan mahkamah.

“Kepada pengguna TikTok atau mana-mana media sosial yang lain sila hati-hati. Tidak dibenarkan memuat naik visual atau klip dari filem yang melebihi 5 saat. Pihak penerbit berhak saman anda dan tindakan undang-undang mahkamah boleh dikenakan.

“Saya tidak mahu kes saman filem Munafik 2 dulu berulang sekali lagi, sampai kedua-dua orang tua menangis dan memohon maaf atas perbuatan tidak bertanggungjawab anak mereka. 

“Maaf, saya terpaksa ambil juga tindakan mahkamah dulu. Akhirnya diisytihar muflis dan nama disenarai hitam kerana saman gagal bayar.

“Perbuatan anda itu sangat tidak berbaloi. Tolong ambil maklum dan jangan susahkan diri sendiri. Ini kesalahan berat,” tulisnya pada perkongsian baharu di Instagram.

Sebelum itu, Syamsul juga mendedahkan salah seorang pengguna TikTok yang memuat naik klip filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan itu secara haram dan meraih ribuan tontonan.

Pengarah terbaik Asia Pasifik itu juga turut memberitahu pada perkongsian di Instagram, bahawa nama serta maklumat peribadi individu berkenaan sudah dikenal pasti dan tindakan akan diambil jika tidak memadam perkongsian klip secara haram itu. 

“Pengguna TikTok akan dikenakan tindakan undang-undang dan segala maklumat kamu telah dikenal pasti. Padam sekarang sebelum terlambat,” ujarnya.