MEREKA digelar ‘pahlawan awan’. Tinggal di kawasan terpencil dan tinggi. Sehingga kini, kewujudan mereka masih terus dikaji. Sebagaimana misterinya rimba Amazon, begitulah misterinya bangsa Chachapoyas.

Pada tahun 1997, Sonia Guillen yang merupakan seorang ahli arkeologi Peru telah menemui satu peradaban kuno di pinggir kawasan hutan Amazon di Peru.

Kota kuno itu dikenali sebagai Chachapoyas, iaitu negeri ‘orang-orang awan’ yang hilang sejak ratusan tahun lalu. Gelaran ‘masyarakat awan’ diberikan kepada penduduk Chachapoyas kerana mereka hidup di kawasan tanah tinggi, iaitu di pergunungan Andes yang diselimuti awan.

Bekas kota tinggalan bangsa ini yang tinggi di puncak bukit. Bangsa ini digelar ‘orang awan’ kerana tinggal di tempat tinggi.

Namun, kehidupan dan kebudayaan masyarakat kuno yang wujud sejak kurun ke-9 ini masih banyak menjadi tanda tanya kerana tidak banyak meninggalkan catatan.

Meskipun mereka hilang jejak sejak ratusan tahun lalu, tetapi peninggalan sisa-sisa kota Chachapoyas yang ditemui di wilayah utara Peru menjadi bukti kewujudan bangsa ini.

Bukti arkeologi seperti runtuhan binaan, tembikar, makam dan artifak lain menunjukkan bahawa suatu ketika dahulu pernah wujud satu tamadun manusia di pedalaman hutan Amazon.

Terdapat beberapa deretan patung yang dibina oleh masyarakat Chachapoyas di kawasan pinggiran bukit, berhampiran dengan kediaman mereka. Deretan patung-patung yang dikenali sebagai ‘perajurit awan’ itu dibina dengan posisi menegak menghadap matahari terbit dan masih boleh dilihat sehingga kini. Ia dibina hampir 1000 tahun lalu dan menjadi lambang kehebatan pahlawan Chachapoyas suatu masa dahulu.

Binaan patung yang dibina di cerun-cerun bukit.
Bangsa ini mahir membina dan mengukir di cerun-cerun bukit.

Ahli arkeologi mendapati kawasan binaan patung-patung tersebut merupakan tapak perkuburan pahlawan-pahlawan Chachapoyas. Patung itu merupakan keranda yang diperbuat daripada tanah liat dan getah tumbuhan yang diukir. Mumia-mumia pahlawan Chachapoyas telah disemadikan di dalam patung-patung tersebut sebagai lambang kemegahan mereka suatu ketika dahulu.

Apa yang unik mengenai patung ‘perajurit awan’ Chachapoyas ini ialah lokasinya yang sukar dijangkau. Masih banyak persoalan berkaitan dengan kemampuan ‘masyarakat awan’ ini yang berupaya membina tapak perkuburan di cerun bukit.

Apa yang menjadi tanda tanya, bagaimana masyarakat pada zaman itu membawa dan menempatkan mayat di cerun itu? Ini kerana setelah diteliti, tiada jalan atau laluan untuk menuju ke kawasan tersebut.

Banyak yang masih misteri berkaitan kehidupan di Chachapoyas kerana lokasinya berada di kawasan yang sangat terpencil. Jaraknya sekitar 500 kilometer ke sebelah timur laut Lima. Apatah lagi kota kuno tersebut dibina di tanah tinggi yang berada pada kedudukan 3000 meter dari paras laut.

Pada paras ketinggian itu, ahli arkeologi menemui benteng-benteng yang diperbuat daripada batu, bangunan-bangunan yang terletak di tepi jurang serta sisa-sisa tembok yang terpahat lukisan-lukisan asal masyarakat ini.

Pemilihan lokasi serta binaan kota di cerun-cerun bukit menunjukkan bangsa Chachapoyas membina sebuah negeri yang memaksimumkan sistem pertahanan.

Kota bangsa ini yang tinggi terletak di atas gunung masih menimbulkan banyak persoalan pada pengkaji.
.Antara sisa peninggalan kota bangsa ini

Bagaimanapun, pada kurun ke-15, ketika empayar Inca meluaskan jajahannya, bangsa Chachapoyas telah tewas dalam peperangan. Sekalipun mereka memberikan tentangan yang hebat di sebalik benteng yang dibina, tetapi teknologi dan jumlah tentera Inca yang ramai menyebabkan bangsa Chachapoyas tidak berdaya menahan asakan ketenteraan Inca. Akhirnya, mereka tewas dalam peperangan yang berlaku pada tahun 1475 itu.

Selepas peperangan tersebut, orang Chachapoyas telah dipaksa mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah Inca. Ketika inilah berlaku pemberontakan kecil puak Chachapoyas yang tidak berpuas hati terhadap pucuk pimpinan mereka.

Pada tahun 1535 ketika kedatangan Sepanyol, sisa-sisa suku Chachapoyas mula berpihak kepada Sepanyol untuk berperang melawan puak Inca.

Bagaimanapun, kedatangan Sepanyol telah membawa wabak penyakit cacar yang akhirnya telah melenyapkan populasi mereka secara keseluruhannya.

Menurut ahli sejarah, Cieza Pedro de Leon, bangsa Chachapoyas dikatakan memiliki rupa paras yang cantik dan tampan. Orang-orangnya berkulit putih dan berambut perang – tidak seperti penduduk Amazon lain yang kebanyakannya berkulit gelap.

Wanita-wanita Chachapoyas pula terkenal dengan sifat kelembutan serta mempunyai mata yang cantik. Kerana itulah puak Inca ingin menjadikan wanita-wanita Chachapoyas sebagai isteri mereka.

Setakat ini, apa yang paling mengagumkan tentang ‘masyarakat awan’ ini ialah peninggalan konstruksi Kuelap, iaitu benteng monumental yang berada pada ketinggian 3000 meter dari paras laut. Di Kuelap, terdapat sekitar 400 gedung yang menempatkan 3,500 mayat daripada suku mereka.

Jika dibandingkan dengan bangunan terkenal milik bangsa Inca iaitu Manchu Picchu, kompleks Kuelap ini mempunyai keluasan yang lebih besar dan tersusun. Ia menunjukkan bahawa pada 1000 tahun dahulu, bangsa Chachapoyas telah mampu membuat sesuatu yang luar biasa dan membina sebuah negeri di suatu lokasi yang sukar dijangkau.

Kompleks Kuelap, kubu pertahanan bangsa Chachapoyas.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’