TULAR di media sosial baru-baru ini satu babak lakonan Redza Rosli dalam drama berjudul Bisik Bisik Gelora yang ditegur oleh seorang doktor akibat penggunaan ‘prop’ dan teknik yang kurang tepat.

Menurut doktor yang dikenali sebagai Hafeez itu dalam perkongsiannya di laman Tiktok, dia mempersoal adakah ia dilakukan atas kecuaian pihak hospital itu sendiri atau sekadar gimik yang tidak menjadi.

“Ini babak dramatik atau cuai? Benda yang terkeluar dari mulut itu adalah tiup pernafasan untuk seseorang yang hendak ditidurkan. Tiub itu sepatutnya diikat dan bukan digigit sebab ia boleh tercabut keluar.

“Benda yang macam belon itu pula adalah beg ambu yang digunakan untuk mengepam udara secara manual apabila seseorang itu rebah atau pengsan. Ia tidak sepatutnya ditinggalkan di situ. Kalau begitu memang nampak macam cuai,” tegurnya.

Dr Hafeez itu juga mendedahkan sekiranya perkara ini benar-benar berlaku, pihak pesakit boleh mengenakan tindakan sama ke atas pihak hospital disebabkan kecuaian mereka.

Selain menegur perkara itu, dia juga memberi sedikit cadangan penambahbaikan agar babak yang dipertontonkan kepada umum kelihatan lebih dekat dengan situasi sebenar.

“Kalau saya orang berkenaan, episod seterusnya saya akan saman hospital. Jika mahu babak dramatik dengan kos rendah cukup pakai topeng oksigen.

“Jalan cerita sudah elok, tetapi babak tersebut merosakkannya,” jelasnya lagi.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan teguran yang diberikan oleh Dr Hafeez dan menyifatkan drama di Malaysia harus mencontohi drama asal Korea Selatan.

“Aku bukan doktor pun tahu kegunaan benda tu sebab selalu tengok drama Korea. Hahaha Korea sangat ‘real’ wei!

“Kritikan yang membina. Harap pengarah ambil pengajaran. Dengan aku sekali belajar. TQ.

“Kena banyak buat ulang kaji untuk drama Malaysia. Contohi Korea,” ulas segelintir warganet yang komen di video itu.

Untuk rekod, drama Bisik Bisik Gelora yang ditayangkan di TV3 itu turut dibintangi oleh Raysha Rizrose, Gambit Saifullah, Afifah Nasir dan Hafidz Roshdi.