Tajuddin Abdul Rahman ketika menerima surat pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO daripada Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, November 2020./Gambar fail

KEDUDUKAN Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sama ada akan dicalonkan lagi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang menimbulkan tanda tanya selepas beliau digugurkan daripada Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Walaupun masih kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, namun Tajuddin kini dikatakan tidak disenangi kepimpinan tertinggi UMNO.

Bagaimanapun di tengah bahang politik semasa UMNO, Pas Perak menampilkan satu tawaran menarik buat Ahli Parlimen Pasir Salak itu – bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili Pas pada PRU-15 kelak.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, ini sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak menjadi milik parti itu dalam pembahagian kerusi bersama PN.

Beliau pada masa sama menegaskan bahawa pendirian Pas sama sekali tidak akan mencampuri urusan dalaman mana-mana parti lain.

“Tetapi sekarang telah diuar-uarkan bahawa PRU akan diadakan pada bila-bila masa. Bukan sahaja oleh mereka dalam kalangan Kluster Mahkamah tetapi juga kenyataan Perdana Menteri.

“Jika sekiranya berlaku PRU-15 dan Tajuddin tidak diberi tempat dalam BN, maka Pas Perak sedia menawarkan beliau bertanding atas tiket PN mewakili PAS.

“(Itu) sekiranya kerusi Pasir Salak itu menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi bersama PN,” ujar beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol seperti dilapor Harakahdaily.

Tiada sebarang sebab pengguran Tajuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak sejak 2008 daripada MT UMNO dinyatakan.

Untuk rekod, beliau dilantik sebagai Ahli MT UMNO selepas pemilihan parti pertengahan tahun 2018. Pada pemilihan itu, beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tetapi tewas.

Tajuddin kini merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia.