Kelebihan meninggal Mekah Madinah
Sekadar gambar hiasan. Foto, Ozkan Bilgin/Anadolu Agency)

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya sesiapa yang mati di salah satu daripada dua Tanah Haram maka dia akan dibangkitkan dalam kalangan orang yang selamat, aman pada hari kiamat. Dan siapa yang menziarahi ku dengan mengharapkan balasan pahala daripada Allah ke Madinah nescaya dia akan menjadi jiran ku pada hari kimat.”

Menurut Pensayarah Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Amzan Satiman, banyak hadis yang menggambarkan kelebihan sesiapa yang meninggal di salah satu tanah haram itu akan dibangkitkan di akhirat kelak dalam kalangan orang yang selamat. Yang dimaksudkan dengan selamat di sini ialah di padang Mahsyar. Keadaannya di padang Mahsyar tidak mengalami suasana huru-hara dan boleh masuk ke syurga bersama Rasulullah.

Ada satu lagi hadis yang menguatkan tentang keistimewaan meninggal di tanah suci. Rasulullah bersabda,

“Sesiapa yang mati di salah satu di tanah haram wajib mendapat syafaat ku dan dia nanti di akhirat akan bersama orang-orang yang aman.”

Sesungguhnya tidak keterlaluanlah dikatakan bahawa memang ramai mengidam mati di sana. Namun, semuanya bergantung kepada iman walaupun telah dijanjikan syurga dan menjadi jiran Rasulullah s.a.w., tanpa iman ia tidak akan terjadi.

Kelayakan utama untuk mendapatkan syurga adalah iman. Setakat ini yang boleh kita baca adalah pada zahirnya saja, jika meninggal di Tanah Suci diandaikan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima Allah maka ganjarannya syurga.

Apa saja mesti ada iman bahkan Rasulullah s.a.w. semasa di akhirat tidak akan duduk di mimbarnya kerana Baginda bimbang akan masuk dahulu sebelum umatnya. Sedangkan nabi-nabi yang lain telah duduk di mimbar dan masuk ke syurga.

Tapi Nabi s.a.w. masih lagi mencari umatnya dan meminta senarai nama umatnya daripada penjaga neraka. Baginda mencari umatnya yang masih ada iman walau sebesar zarah sekalipun, di neraka. Apabila semua sudah habis dikeluarkan daripada neraka barulah Rasulullah s.a.w. berpuas hati. Hinggakan malaikat bertanya,

“Adakah tidak engkau tinggalkan di kalangan umat mu di neraka ini walaupun seorang?”

Begitu pentingnya iman walaupun sebesar zarah juga dikira, hingga Rasulullah s.a.w. memegang iman umatnya sebagai tiket untuk dikeluarkan daripada neraka. Syarat utamanya adalah iman walaupun Allah sudah janji jika tidak ada iman memang ia tidak akan berlaku.

Istimewa kuburnya

Tidak salah untuk meminta dan berniat untuk meninggal dunia di kota suci Mekah dan Madinah. Rasulullah s.a.w. dimakamkan di Madinah. Ada lebih 10 ribu para sahabat dan taabiin, orang yang beramal soleh juga dikebumikan di sana sejak 1400 tahun lalu. Banyak ulama, orang alim juga menginginkan agar meninggal di tanah Suci dan tradisi itu terus bersambung hingga hari ini.

Di Madinah perkuburan Baqiq adalah perkuburan yang dirahmati. Di situ disemadikan jasad isteri-isteri, keluarga Rasulullah juga para sahabat. Hingga kini perkuburan itu masih lagi menjadi kubur utama penduduk Madinah. Perkuburan tanpa batu nisan dan dirizabkan kepada golongan tertentu terus digunakan. Selepas satu tempoh tertentu jenazah baru pula akan disemadikan di dalam kubur yang sama.

Setiap tahun berjuta umat Islam akan mengunjungi Mekah dan Madinah untuk mengerjakan fardu Haji.

Begitu juga dengan perkuburan Ma’ala di Mekah, isteri Rasulullah s.a.w., Khadijah dan  para solihin serta sahabat dikebumikan di situ. Hanya Allah yang tahu siapa yang boleh meraih syurga Nya. Jika seseorang itu meninggal dalam iman, kemudian dengan kelebihan berdampingan dengan orang yang mulia dan para solihin maka rahmat akan melimpah ruah. Tidak salah menginginkan agar dikebumikan berhampiran para solihin dan mereka yang dirahmati Allah.

Kehidupan di alam barzakh lebih kurang sama dengan kehidupan kita di dunia ini. Jika berjiran dengan orang soleh-soleh kita akan beruntung kerana Allah sentiasa turunkan rahmat kepada mereka.

Lagilah beruntung jika kita dapat berjiran dengan kubur para sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh Allah. Ditambah pula apabila jemaah haji yang datang dari seluruh dunia berziarah, menghadiahkan bacaan Al-Quran, selawat dan doa walaupun ia ditujukan kepada para sahabat tetapi kita yang dikebumikan di sana pun mendapat tempiasnya.

Hal itu disebutkan dalam tazkirah al-Qurtubi dinyatakan, apabila orang menziarahi kubur lalu membaca al-Quran maka orang yang berada di dalam kubur pun akan mendapat rahmat.

Tambah-tambah lagi apabila ramai yang menziarahi kubur tersebut maka berkat berjiran dengan para sahabat pun kita dapat rahmat daripada Allah. Ia dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah bahawa yang meninggal di Mekah dan Madinah akan mendapat keistimewaan yang dijanjikan Allah. Wallahu a’lam

_____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare