Dua keputusan besar kerajaan yang jelas diambil bagi membantu Keluarga Malaysia dalam berdepan peningkatan kos sara hidup yang turut dirasai di peringkat global.

HUJUNG bulan lalu, Bloomberg menyiarkan sebuah artikel bertajuk “Why Chickens Are Getting More Pricey From Manhattan to Malaysia” – “Kenapa harga ayam semakin mahal dari Manhattan (New York) ke Malaysia”.

Ini realiti global. Amaran mengenai peningkatan harga ayam dan makanan sudah diberikan Pertubuhan Makanan Sedunia (FAO) – sebuah agensi di bawah PBB hujung tahun lalu lagi. Kemudian diburukkan lagi krisis Rusia-Ukraine.

Isu ini bukan hanya di Malaysia dan tiada kaitan propaganda ‘BN-barang naik’ kecuali mereka yang malas untuk membaca perkembangan global.

Bukan mudah menangani isu ini, sudah banyak kerajaan di seluruh dunia merasai bahangnya dan tidak terkecuali di Malaysia.

Masa ini, ramai yang memberi cadangan apatah lagi pemimpin pembangkang yang sebahagian saranan tak lebih dalam kategori seperti menangguk di air keruh.

Sedangkan ada buat-buat lupa yang harga RON95 dan diesel di Malaysia tidak naik menerusi penyaluran subidi puluhan bilion ringgit sedangkan kebanyakan negara tidak pun mengawal harga bahan bakar sekali gus menyumbang peningkatan kos operasi pengangkutan.

Ini belum lagi keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air, yang bermakna subsidi RM5.8 bilion diperlukan untuk menampungnya.

Baca: Harga ayam tidak diapungkan, kadar tarif elektrik kekal – PM

Menyalur subsidi secara bersasar, tetapi intervensi kerajaan tetap perlu

Harga makanan dunia naik 30 peratus lapor FAO, moga RON95 kita kekal

Jika ditanya pihak industri (baca kapitalis), mereka kata biarkan sahaja pasaran menentukan harga bagi mengelakkan gangguan rantaian – seperti dalam isu bekalan dan peningkatan harga ayam.

Memang, kalau pegang pada prinsip pasaran bebas iaitu harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran, bekalan mungkin tak jadi isu.

Siapa ada duit, dia boleh beli. Masalahnya ayam bukan udang galah. Ayam adalah sumber protein kepada semua. Malah ayam adalah protein yang paling banyak diambil umat manusia tanpa mengira ceruk.

Selain versatil kerana boleh dimasak dengan pelbagai cara, sudah tentu ayam menjadi sumber makanan utama kerana faktor harganya yang mampu milik.

Jadinya, naik berapa pun orang kena beli. Sebabnya ayam. Tiada alternatif kepada ayam khususnya kepada jangka masa panjang.

Jika mengikut telunjuk industri, maka bergembiralah kapitalis. Silap-silap pasaran eksport lebih diutamakan mereka kerana wang adalah segala-galanya.

Justeru, apabila pengumuman Perdana Menteri bahawa harga ayam tidak akan diapungkan semalam, ini adalah kemenangan rakyat.

Ya. Ini perlukan keberanian dasar untuk tidak tunduk kepada tekanan ekonomi bebas yang hanya akan menggembirakan pemain besar.

Dalam hal ini, kerajaan memberi isyarat jelas bahawa rakyat perlu dilindungi apabila melibatkan barangan keperluan harian, seperti mana tarif elektrik.

Sebagai perbandingan dengan Indonesia, walaupun kerajaan kuat dan Jokowi di anggap Presiden rakyat tetapi tetap naikkan tarif atau kurangkan subsidi seperti mana dalam pengumuman dua minggu lalu berhubung tarif baharu elektrik di republik tersebut.

Sudah tentu dalam hal ayam di Malaysia, kerajaan akan mengumumkan harga siling baharu yang mengambil kira kos operasi semasa.

HARGA ayam di seluruh dunia meningkat susulan peningkatan kos operasi termasuk harga makanan ternakan.. – GAMBAR: Abd Razak Aid

Ini tentunya membabitkan pandangan pengusaha kerana tiada siapa mahu berniaga dalam kerugian tetapi pada masa sama untung yang diperolehi biarlah tidak melampau-lampau kerana ayam adalah barangan keperluan semua.

Dari kayangan sehinggalah B40. Jadi, tak boleh nak buat macam berniaga kopi ala Itali.

Namun penetapan harga siling satu bab. Bab satu lagi ialah menjamin aspek bekalan.

Baca: Penguatkuasaan dilipat ganda elak ketirisan minyak masak subsidi

Peniaga, pengguna lega subsidi minyak masak peket diteruskan

Keputusan berani kerajaan sebelum ini menyekat sementara eksport ayam harus memberi satu isyarat – kerajaan ini tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan demi kepentingan Keluarga Malaysia.

Mungkin kerajaan sebelum-sebelum ini tidak buat, tetapi di bawah teraju Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob keputusan sebesar itu boleh dibuat jika memerlukan.

Maka, carilah titik tengah. Pihak industri juga memberi sumbangan kepada pengguna. Bukan mahu mendesak mereka menjadi patriotik tak kena gaya tetapi ketika saat sukar ini biarlah sama-sama ada timbang rasa.

Wujudkanlah situasi menang-menang. Pengguna juga tidak boleh mengharapkan harga siling yang terlalu rendah ketika ayam di seluruh dunia meningkat kerana kos operasi bertambah.

Pada masa sama, rantaian pengusaha, pembekal sehinggalah peruncit perlu akur jika masa ini keuntungan mereka ada paras siling.

Kerajaan juga bukan membantu pengguna sahaja, tetapi semua termasuk ketika industri berdepan saat sukar. Macam-macam permintaan dibuat kepada kerajaan.

Tapi ketika ini masanya untuk melindungi pengguna.