PAS tetap bersama Perikatan Nasional (PN)

PERIKATAN Nasional (PN) sedang membincangkan penggunaan logo PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah menggunakan logo itu pada PRU15 merupakan antara strategi gabungan politik berkenaan pada PRU15.

“Perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi dalam PN… hasil perbincangan tersebut akan diumum kemudian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kenduri Kampung Anak Kurau Batu Kurau di sini hari ini.

Semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dilapor memberi bayangan bahawa parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRU15.

Beliau berkata imej bulan yang terdapat pada logo PAS dilambangkan sebagai bersih dan pihaknya yakin ia mampu memberi kelebihan kemenangan kepada calon parti itu kelak. 

Katanya penggunaan logo itu dijangka memberi kelebihan kepada calon untuk menang kerana ia sudah dikenali sejak 70 tahun lepas.

Sementara itu, Hamzah enggan mengulas tindakan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang menawarkan kerusi Parlimen Pasir Salak kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada PRU15 selepas beliau digugurkan daripada Majlis Tertinggi UMNO.

“Semua orang boleh buat pandangan atau membuat tawaran begitu dan saya kira itu hanyalah sekadar cadangan.

“Segala keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan, jadi saya tidak perlu membuat ulasan lanjut tentang perkara itu,” katanya.

Menyentuh laporan bahawa PAS mahu mempercepat PRU15, beliau berkata ia boleh diadakan sekiranya semua pihak termasuk rakyat sudah bersedia. – BERNAMA