Pusat Rawatan TH bagi sektor Madinah diiktiraf sebagai pusat operasi perubatan yang pertama di seluruh Arab Saudi manakala Pusat Rawatan TH Syisyah dan Pusat Kecemasan di Abraj Al Janadriah memperoleh permit yang pertama dan kedua di Makkah./Gambar FB Berita RTM

JIKA dlihat dari luar, bangunan yang menempatkan Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah kelihatan seperti biasa sahaja tetapi apabila berada di dalamnya, pengunjung pasti teruja melihat segala kelengkapan perubatan yang disediakan.

Bukan sahaja mempunyai wad sendiri, tetapi TH juga melengkapkan perkhidmatan mereka dengan menempatkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang, 18 ambulans dan peralatan perubatan mencukupi.

Pengarah Operasi Perubatan Makkah Dr Mohamad Nazarudin Bahari berkata lebih membanggakan apabila setiap analisis dan pemantauan pegawai perubatan Malaysia diterima tanpa sebarang keraguan oleh doktor yang bertugas di Hospital Arab Saudi sama ada di Makkah dan Madinah.

Katanya, keadaan sedemikian membolehkan pesakit mendapat rawatan segera dan pegawai perubatan TH mudah melakukan pemantauan berterusan.

“Pusat Rawatan Syisyah dan klinik kesihatan lain di tempat penginapan jemaah haji sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Jika pada 2012 ketika saya baru sampai di Makkah, hanya ada dua pakar sahaja dan ia makin bertambah pada tahun selepasnya. Sekarang ini kita mempunyai 24 orang pakar. Itupun sebenarnya masih ramai doktor  pakar lain tetapi mereka berstatus pegawai perubatan di sini,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengagumi kebolehan dan kepatuhan Malaysia dalam bidang perubatan, malah sebagai memenuhi syarat, kesemua doktor bertugas akan menghantar sijil kelayakan mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan terlibat dalam operasi musim haji.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, TH memang menyediakan perkhidmatan terbaik dari pelbagai segi. Ada ketika saya bersama pasukan kecemasan untuk  pemeriksaan ambulans di Bulan Sabit Merah Jeddah.

“Apabila datang sahaja ambulans Malaysia, petugas Arab Saudi sangat puji dan mereka melahirkan rasa kepercayaan terhadap Malaysia. Kesemua 18 buah ambulans kita memang bagus dan petugas itu hanya hendak tengok sahaja, ” katanya.

Sementara itu, dalam majlis perhimpunan petugas bersama Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, pasukan perubatan TH menerima pujian kerana berjaya memperoleh permit beroperasi daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Baca: Haji: Bukan saja jemaah tetapi keluarga di tanah air juga berkorban

Lebih membanggakan apabila Pusat Rawatan TH bagi sektor Madinah diiktiraf sebagai pusat operasi perubatan yang pertama di seluruh Arab Saudi manakala Pusat Rawatan TH Syisyah dan Pusat Kecemasan di Abraj Al Janadriah memperoleh permit yang pertama dan kedua di Makkah.

Ketika berucap, Syed Saleh berkata pasukan perubatan bukan sahaja membuktikan kebolehan Malaysia dalam memastikan mutu perkhidmatan kesihatan tetapi juga mencipta rekod tersendiri di peringkat antarabangsa.

Mengikut rekod, pusat rawatan di Madinah dan Makkah menyediakan seramai 254 petugas termasuk 28 pakar, 35 pegawai perubatan serta 158 kakitangan sokongan seperti jururawat dan fisioterapi.

— BERNAMA