Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. GAMBAR: Abd Razak Aid

UNJURAN perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang setakat ini berjumlah RM77.3 bilion bagi tahun 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, subsidi kepenggunaan itu meliputi petrol, diesel, LPG (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dan bil subsidi (RM9.7 bilion).

Namun katanya, ia tidak termasuk bantuan kebajikan lain dan unjuran subsidi untuk 2022 itu adalah jika harga bersubsidi serta harga pasaran minyak, arang batu dan komoditi lain kekal pada paras semasa.

“Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia – BKM (RM11.7 bilion) dan lain lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.3 bilion bagi tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, unjuran itu juga mengambil kira pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini pertamanya mengenai bantuan tunai tambahan RM630 juta, yang meningkatkan jumlah BKM Fasa 2 bagi golongan berpendapatan rendah kepada RM1.74 bilion mulai 27 Jun ini.

Selain itu jelas beliau,  elektrik bernilai RM5.8 bilion untuk separuh tahun kedua bagi memastikan tiada kenaikan tarif elektrik mulai 1 Julai ini turut diambil kira.

“Kerajaan peka kepada kenaikan harga komoditi dan kadar inflasi ekoran gangguan kepada rantaian bekalan global dan konflik Ukraine-Rusia yang telah mengakibatkan impak kenaikan harga barangan asas kepada kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul sehubungan itu menjelaskan, subsidi kerajaan bertujuan untuk menampung kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, subsidi menyeluruh itu meliputi petrol, diesel, air dan elektrik serta turut dinikmati golongan M40 dan T20 yang mendapat manfaat besar.

Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal.