DI kemuncak pelbagai halangan, siapalah yang bakal menyangka bahawa waktu itu akan melahirkan salah satu kumpulan muzik paling berjaya di Malaysia dalam bentuk kumpulan, Dolla.

Ya, sewaktu Mac 2020 yang sangat mencabar, band wanita Dolla melawan arus dan melancarkan lagu hit pertama mereka berjudul Dolla Make You Wanna sehingga terus mencuri perhatian peminat muzik tempatan.

Dalam tempoh dua tahun yang penuh halangan ini, tiada yang menjangka bahawa kumpulan ini bakal mencipta pelbagai kenangan manis dan kejayaan dalam kerjaya seni mereka.

Dengan enam buah lagu hit termasuk salah satu lagu raya paling popular, Raya Raya Raya, seolah-olah tiada apa yang mampu mengekang empat gadis berbakat ini dari meraih kejayaan.

Sempat mencuba nasib sebagai pelakon dan berkesempatan memenangi beberapa anugerah besar, Dolla juga mencipta sejarah selepas menjadi kumpulan nyanyian wanita pertama Malaysia yang menghiasi papan iklan digital tersohor di di bandar raya New York selepas beberapa bintang Malaysia lain seperti Yuna dan Layla Sania.

Dan kini melebarkan sayap mereka lebih jauh, kuartet ini bakal meninggalkan impak dalam industri permainan dalam talian melalui kolaborasi bersama permainan mudah alih Garena untuk kempen Free Fire Untuk Semua.

Kerjasama Dolla bersama permainan berbentuk aksi perlawanan tersohor ini juga berpaksi pada sebuah lagu yang dicipta khas berjudul Fight. Kempen induknya, Free Fire Untuk Semua, bertujuan membawa para pemain bersama, dengan Free Fire mewakili ikatan yang mereka kongsi.

Kerjasama ini melambangkan usaha berterusan Garena’s untuk mewujudkan kandungan berunsur tempatan buat komuniti Free Fire di Malaysia. Bahagian terbaharu kempen memberi fokus kepada pemerkasaan aneka budaya melalui Free Fire, sejajar dengan kempen Free Fire Untuk Semua Budaya (Free Fire For All Cultures).

Ini dibuktikan lewat kolaborasi bersama Dolla, yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya yang membariskan ahli kumpulan dengan latar belakang budaya yang berlainan.

Fight menggabungkan beberapa bahasa dan unsur tradisional untuk menekankan tema budaya. Lagu ini turut menampilkan beberapa kata kunci penting dari acara tahunan Free Fire yang berjudul Rampage, yang akan berjalan serentak bersama kempen Free Fire Untuk Semua Budaya bulan ini.

“Melakukan penggambaran untuk Free Fire adalah satu pengalaman luar biasa. Itulah pertama kali kami terpaksa berlatih untuk gerakan lagak ngeri bersama kesan visual khas. Pengarah kami memang hebat,” ujar Tabby, salah seorang ahli kumpulan tersebut.

“Kami sangat bersyukur dan ingin berterima kasih kepada para pelagak ngeri terbabit kerana sudi mengajar kami cara berlawan dan menggunakan senjata. Terima kasih kerana sentiasa menjaga kami dan memastikan tiada kecederaan yang serius terjadi. Saya memang menantikan Kerjasama ini dan tidak sabar untuk melihat peminat kami menyertainya,” tambah Sabronzo.

Sungguh pun begitu, penggambaran ini ada cabarannya dan salahs eorang ahli kumpulan, Syasya sempat mengulas berkenaan hal tersebut.

“Kami tak pernah buat aksi lagak ngeri atau sebarang bentuk gerak lawan sebenar. Jadi pengalaman ini sesuatu yang baru. Dan bila terpaksa membayangkan suasana dengan kesan visual, itu satu cabaran juga,” jelas Syasya.

“Oleh kerana ini permainan dalam talian berbentuk perlawanan dengan banyak pihak, Kerjasama adalah sangat penting. Saya gembira Dolla menjadi sebahagian dari kempen ini kerana dengan cara itulah kami bertahan. Kerjasama!” ujar Angel.

Gelombang terbaharu acara Free Fire Untuk Semua akan berlangsung dari 13 hingga 30 Jun dan akan menyaksikan Free Fire meraikan perbezaan dalam komuniti.

Lagu kolaborasi berjudul Fight dan muzik video (MV) boleh di dapati dan ditonton di semua wadah penstriman digital serta laman Facebook, Instagram, dan YouTube Free Fire.