Enam saintis muda akan mewakili Malaysia ke mesyuarat Nobel Laureate ke-71 yang berlangsung di Lindau, Jerman mulai hari ini sehingga 1 Julai depan.

ENAM saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia dalam mesyuarat Nobel Laureate ke-71 yang berlangsung di Lindau, Jerman mulai hari ini sehingga 1 Julai depan.

Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail memaklumkan, enam saintis itu akan disertai kira-kira 600 saintis muda lain seluruh dunia.

Menurut beliau, mesyuarat itu kini dilaksanakan secara fizikal selepas dilakukan secara dalam talian tahun lalu.

Asma berkata, kesemua enam saintis muda negara itu adalah Dr. Enis Nadia Md. Yusof; Dr. Goh Choon Fu; Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman dan Dr. Oh Wen Da yang kesemuanya dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau memberitahu, dua lagi saintis adalah Dr. Sazlinda Kamaruzaman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Dr. Low May Lee dari International Medical University Malaysia (IMU).

“Malaysia menerusi ASM telah menghantar 81 saintis muda untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat ini sejak tahun 2004.

“Mesyuarat Nobel Laureate ini adalah satu platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Siapa Nobel sehingga namanya diabadikan sebagai anugerah sepanjang zaman?

Mengulas lanjut, Asma berkata, enam saintis muda tersebut juga dapat bertemu pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains.

“Mesyuarat tersebut juga mendedahkan mereka kepada contoh teladan saintis serta memperkenalkan penyelidikan saintis muda kita kepada mereka dan seterusnya mungkin membuka peluang untuk bekerjasama di makmal bertaraf dunia,” jelas beliau.

Mesyuarat Nobel ke-71 tahun ini didedikasikan untuk bidang kimia dengan dianggarkan 35 pemenang Anugerah Nobel akan menyertai mesyuarat itu untuk membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman bersama semua peserta.

Pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel dibuka kepada semua saintis muda institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) seluruh negara setiap tahun yang dikendalikan ASM.

Sebanyak 25 pencalonan telah diterima tahun ini dengan saringan awal dilakukan ASM dan seterusnya diputuskan ahli jawatankuasa Mesyuarat Nobel untuk pemilihan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram