Gambar Hiasan.

GARA-gara berebut lot parkir kereta, dua lelaki cedera selepas diserang tiga beranak termasuk seorang wanita di hadapan sebuah premis di Jalan Damansara Utama, Petaling Jaya.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.10 tengah hari itu menyebabkan ahli perniagaan berusia 26 tahun bersama rakannya cedera ringan di bahagian tangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada lelaki terbabit mendakwa berlaku perselisihan faham dengan dua lelaki dan seorang wanita tempatan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perebutan lot parkir kereta.

Fakhrudin memaklumkan, kejadian berlaku apabila mangsa telah meletakkan kereta jenis Toyota Vios di lot parkir berhadapan kedainya.

“Tiba-tiba, seorang lelaki menjerit memanggil mangsa turun dari kedai lalu berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Isteri lelaki berkenaan turut memarahi dan membaling telur ke arah mangsa dan rakannya.

Baca artikel berkaitan: Lelaki serang, tumbuk anggota polis ditahan

“Selepas itu, anak kepada pasangan suami isteri tersebut yang juga suspek kes datang memarahi mangsa dan rakannya sambil memegang sebuah tukul besi mengugut untuk merosakkan kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fakhrudin berkata, situasi kemudiannya menjadi kelam kabut dan berlaku pergelutan antara mereka berlima dengan suspek pada ketika itu memegang alat pemadam api serta sebilah pisau pemotong daging.

Bertindak atas maklumat, beliau memaklumkan, polis telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di hadapan premis di Jalan Damansara Utama pada kira-kira pukul 4.30 petang, semalam.

Katanya, polis turut merampas tukul besi, sebilah pisau pemotong sayur dan tong alat pemadam api yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Suspek akan dibuat permohonan tahanan reman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram