Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menaikkan elaun pembantu Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya menjangkakan MOF bakal memberikan maklum balas mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

“Itu (cadangan menaikkan elaun pembantu Tabika Kemas) kita sudah bawa ke JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Kewangan. Hendak naikkan elaun itu kita kena ada kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk dapatkan wang itu balik kepada kita (KPLB). Insya-Allah kita akan dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengurniakan skrol diploma dan sijil kepada 648 graduan Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pada Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah yang Ke-3 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Walaupun terkesan COVID-19, pelajar MRSM tetap pamer keputusan cemerlang – Mahdzir

Mahdzir berkata, cadangan supaya elaun pembantu Tabika Kemas dinaikkan telah disuarakan beberapa pihak sebelum ini, berikutan bebanan tugas golongan itu yang semakin meningkat dan tidak setimpal dengan gaji yang diterima iaitu RM500 sebulan.

“Dahulu tugas pembantu Tabika Kemas hanyalah untuk memasak dan selepas itu mereka pulang. Itu sahaja. Namun kemudiannya pembantu tabika ini sudah jadi seperti cikgu pula. Banyak kerja yang dia (pembantu Tabika Kemas) kena buat,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata kertas cadangan untuk menaik taraf guru Tabika Kemas daripada lulusan diploma kepada Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah dibawa dan dibincangkan ke JPA.

Katanya, pelbagai perkara perlu dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum meluluskan cadangan tersebut termasuk mengenai bajet dan masa yang sesuai untuk melaksanakannya.

“Setakat ini ia masih lagi dalam proses perbincangan. Kita ada ‘focus group’. Kita kena tahu hendak buat ini perlu mengikut kumpulan demi kumpulan. Kita hendak tahu bila kita boleh mula buat, ia juga akan melibatkan emolumen dan selepas itu kita kena tahu berapa bajet yang diperlukan,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram