“Jujur, saya amat berdebar kerana mengenali diri ini memang kisah peribadi antara yang bukan saya jaja selama bergelar anak seni”. 

Demikian kata Sharifah Amani,36, menjelaskan mengenai berita pertunangannya yang berlangsung Jumaat lalu.

Namun baharu hari ini dia berkongsi kepada umum.

Menurut Amani, dia tidak berniat untuk merahsiakan berita gembira itu namun mengakui bukanlah seorang yang suka berkongsi kisah peribadi sejak di awal pembabitannya dalam industri hiburan.

“Tiada istilah saya mahu menyembunyikan kebahagiaan yang sedang diteroka ini. 

“Saya percaya, hal bahagia ini juga berhak dikongsi. Justeru, saya kongsi sedikit hari ini.

“Tapi, saya akur, perjalanan hidup manusia juga akan bertemu titik bahagia,” katanya ketika dihubungi URTV.

Amani yang juga anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar itu bagaimanapun belum bersedia mendedahkan identiti tunangnya.

Namun, dia memaklumkan bakal melangkah ke gerbang perkahwinan pada tahun ini juga.

“Nanti masa nikah, saya bersedia berkongsi identiti bakal suami. Sekarang ini, biarlah rahsia dulu.

“Yang pasti kami sudah kenal sejak empat tahun lalu. Saya selesa mengenalinya,” ujarnya.