PENYANYI Nikki Palikat membuat pendedahan bahawa dia sudah pun bercerai dengan komposer terkenal Audi Mok.

Nikki atau Nicolette Louisa Palikat,36, memaklumkan perkara berkenaan menerusi program Melodi yang disiarkan hari ini.

“Sebenarnya ya saya dah bercerai. Penceraian ini berlaku ketika pandemik. Pada waktu itu, kami sedar yang lebih baik kami hanya sekadar berkawan.

“Memang sekarang ini hubungan kami lebih baik berbanding ketika berkahwin. Bukan saya nak menyorokkan apa-apa. Saya cuma perlukan masa untuk menerima satu perkara yang menyakitkan,” luahnya.

Dalam pada itu, Nikki menafikan bahawa punca perceraian antara dia dan bekas suami bukan disebabkan orang ketiga.

“Sejak dahulu lagi kami sedar yang kita tidak serasi. Kami sebagai kawan sangat bagus. Itu yang kitaorang rasa kalau kita bercerai dan hubungan akan lebih baik.

“Waktu depresi dulu saya rasa seperti gagal dalam semua segi. Saya cuba untuk perbaiki hubungan, tak nak dilihat sebagai seorang yang gagal, berputus asa.

“Bagaimanapun saya ingat pesan bekas suami, kami gagal sebagai pasangan suami isteri, tetapi sebagai sebuah keluarga kami berjaya.

“Saya sangat lega sebab anak saya tidak ‘hancur’ dengan perpisahan ini,” katanya lagi.

Nikki yang pernah menyertai program Malaysian Idol musim pertama pada 2004, mendirikan rumah tangga dengan Audi Mok pada 2009 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Liam yang kini berusia 12 tahun..