Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar selaku Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia berkenan mencemar duli ke majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPPM kali ke-57 di Melaka, hari ini.

SEMUA remaja perempuan dan wanita muda serta sesiapa yang bergelar Pandu Puteri hendaklah diberikan hak dan kebebasan menyuarakan pandangan.

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datin Seri Muhaini Zainal Abidin berkata, ahli Pandu Puteri juga wajar diberi hak menyampaikan pendapat untuk membawa perubahan kepada dunia di mana mereka berada.

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datin Seri Muhaini Zainal Abidin

Bukan itu sahaja, kata beliau yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemikiran dan suara wanita bagi merancang masa hadapan ke arah kesejahteraan bumi wajar disokong.

“Kita harus dan wajib bertanggungjawab untuk menjaga serta memulihara alam persekitaran.

“Patik juga mengajak diri patik dan para hadirin sekalian, bersama-sama menggalas tanggungjawab ini kerana dunia ini milik kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPPM kali ke-57 di Melaka, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar selaku Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia turut berkenan mencemar duli hadir ke majlis tersebut.

Baca artikel berkaitan: Harga ayam: Bukan pusingan U, tetapi berasaskan pandangan rakyat – PM

Persidangan tersebut dilangsungkan dengan tema ‘Dunia Kita, Masa Depan Kita Bersama’.

Difahamkan ini merupakan program pertama yang dihadiri Muhaini sebagai isteri Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Muhaini memaklumkan beberapa bahagian di Wisma Pandu Puteri Malaysia telah dan akan dinaik taraf.

Katanya, ia termasuk penyediaan bilik tamu yang lebih baik, bilik mesyuarat baharu lebih luas, ruang kedai lebih besar dan bahagian belakang wisma yang sedang dalam proses penambahbaikan ekoran tanah runtuh.

“Semoga segala kerja penambahbaikan ini dapat berjalan dengan lancar dan menjadikan Wisma Pandu Puteri lebih kondusif dan selesa serta dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk pelbagai aktiviti.

“Tambahan lagi, patik pasti wisma ini menimbulkan nostalgia bagi kebanyakan ahli termasuk Raja Permaisuri Agong kerana terlalu banyak kenangan tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di wisma ini,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram