PERIKATAN Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan boleh menjuarai agenda meningkatkan penyertaan wanita dalam pentadbiran negara.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebagai parti politik, PN dan parti induknya iaitu Bersatu boleh memastikan calon-calon wanita yang berkaliber diberikan tempat sama ada di peringkat negeri mahu pun nasional.

Menurut beliau, idea untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan korporat merupakan idea yang perlu disokong.

Malah, Wan Saiful berkata, semua pihak wajar menyokong agenda pemerkasaan wanita dan perlindungan sosial untuk wanita serta remaja yang dibawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Sidang Kemuncak Wanita Global 2022, baru-baru ini.

“Kerjasama rapat Malaysia dan Vietnam dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi adalah satu perkara yang harus disambut baik kita semua tanpa mengira jantina.

“Sektor korporat juga kekurangan wanita yang hanya terdiri daripada kira-kira satu perempat daripada ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai.

Baca artikel berkaitan: Lebih 200,000 lelaki dapatkan khidmat kaunseling LPPKN – Rina

“Jelas sekali masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mempertingkat penyertaan wanita dalam pentadbiran sektor korporat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Bersatu dan PN boleh memainkan peranan untuk meningkatkan jumlah peratusan golongan wanita dalam pentadbiran negara.

Jelasnya, laporan berkala keenam Malaysia dikemukakan kerajaan kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) mendapati wanita hanya membentuk 19 peratus menteri Persekutuan; 19 peratus senator; 16 peratus ahli majlis tempatan dan 15 peratus ahli Parlimen.

“Sokongan berterusan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong strategi yang dirangka kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, sosial dan politik.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Rina atas kejayaan dan komitmen yang beliau tunjukkan.

“Kesungguhan beliau memperjuang agenda memartabatkan wanita akan membawa manfaat kepada negara secara keseluruhan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram