Anggota polis menjalankan proses mencari dan menyelamat tiga beranak yang keretanya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Baling, Kedah. GAMBAR: BERNAMA

JASAD tiga beranak dalam sebuah kereta yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke sungai, petang semalam ditemukan lemas berpelukan awal pagi tadi.

Memetik laporan BH Online, jasad tiga beranak tersebut ditemukan di sungai Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling.

Jenazah Masyitoh Ibrahim, 37, yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selarong, Baling bersama dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7 dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dijumpai kira-kira pukul 3.30 pagi.

Jasad tiga beranak itu ditemukan di bahagian belakang kereta yang tenggelam di dasar sungai tersebut.

Kereta jenis Proton Persona yang dipandu Masyitoh itu ditarik keluar dari dasar sungai pada kedalaman hampir lima meter dengan bantuan kren sebelum mayat ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan seakan-akan saling berpelukan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron memaklumkan, pihaknya telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima panggilan pada pukul 6.42 petang.

Baca artikel berkaitan: Kaki terbelit pukat, lelaki lemas terjatuh ke dalam laut

Kata beliau, pasukan SAR kemudiannya berjaya mengesan kedudukan kenderaan itu pada pukul 11 malam tadi.

“Anggota melakukan penandaan di tempat yang dikenal pasti sebelum anggota penyelam daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman, mengesahkan kenderaan itu berada di lokasi.

“Susulan itu, proses menaikkan kenderaan terbabit dilakukan mulai jam 11.30 malam hingga 3.30 pagi tadi. Kereta itu kemudian berjaya dibawa naik ke atas jambatan.

“Tiga beranak terbabit ditemukan tidak tersepit di bahagian belakang kereta itu. Mayat kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Menurut Syufaat, mayat Masyitoh berjaya dikeluarkan pada pukul 3.32 pagi diikuti kedua-dua anaknya selang dua minit kemudian.

Katanya, operasi tersebut turut dibantu penduduk kampung, polis, pasukan bomba sukarela (PBS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Difahamkan, jenazah tiga beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram