ISMAIL Sabri Yaakob meninjau harga barangan basah di NSK Grocer di Quill City Mall Kuala Lumpur.

ISU harga barangan yang semakin tinggi sehingga menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat perhatian semua orang, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turun sendiri ke pasar bagi meninjau keadaan harga semasa.

Petang ini Perdana Menteri membuat lawatan mengejut ke NSK Grocer di Quill City Mall Kuala Lumpur bagi meninjau harga barang di pasar raya tersebut.

ISMAIL Sabri Yaakob ketika di NSK Grocer di Quill City Mall Kuala Lumpur

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ismail Sabri berkata beliau tidak menafikan terdapat kenaikan harga ayam dan barangan mentah lain sebelum tarikh kuat kuasa penamatan subsidi bagi produk terbabit.

“Ayam misalnya, kita masih beri subsidi hari ini sampai 30 Jun. Saya tidak faham kenapa pemborong jual pada harga RM8.90. Sebelum 30 Jun, masih lagi harga yang disubsidi oleh kerajaan, tidak sepatutnya sampai RM8.90 daripada pemborong kepada peruncit.

“… sepatutnya (harga ayam daripada pemborong) perlu lebih rendah sebab peruncit juga perlu mengambil keuntungan,” katanya di Quill City Mall di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri juga berkata beliau akan melakukan lebih banyak tinjauan sama selepas ini bagi memastikan tiada pencatutan harga barang oleh peniaga sebelum tarikh penamatan subsidi ayam dan beberapa barangan lain pada 1 Julai.

Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat khas dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) esok berhubung isu bekalan serta harga siling baharu ayam di pasaran.

Perdana Menteri berkata pada mesyuarat itu, beliau akan memaklumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bahawa harga barangan tidak seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk kenaikan beberapa produk lain seperti ikan.

“Saya harap MAFI boleh ambil tindakan dan KPDNHEP juga boleh mengenakan tindakan tegas kalau ada pencatutan yang melampau,” katanya.

Ketika tinjauan itu, beliau turut meluangkan masa mendengar suara dan keluhan rakyat yang membeli-belah di pasar raya tersebut.Katanya rata-rata rakyat yang ditemui mengadu mengenai kenaikan harga barangan ketika ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram