haji Rasulullah sekali sahaja

Pada tahun kesepuluh hijrah (631/632 Masihi) Semenanjung Tanah Arab telah dipersatukan di bawah pentadbiran Baginda s.a.w. yang berpusat di Madinah dengan seluruh penduduk telah pun memeluk agama Islam. Pada bulan Syawal 10H Rasulullah s.a.w. telah mengumumkan satu berita besar yang memberi kesan pada umat Islam iaitu pada tahun ini Baginda s.a.w. sendiri akan memimpin ibadah haji.

Berita tersebut disambut dengan perasaan teruja oleh seluruh umat Islam dari segenap penjuru. Akhirnya mereka berkesempatan mendampingi Baginda s.a.w. dan menyaksikan setiap langkahnya dalam melakukan manasik (tatacara) haji.

Rasulullah s.a.w. berangkat dari Madinah sesudah solat Jumaat 25 Zulkaedah 10H mengenderai unta Baginda al-Qashwa’, diikuti sekitar tiga puluh ribu sahabat. Kesemua isterinya ikut serta dan juga puteri Baginda iaitu Fatimah r.ha. Sesampai di Dzulhulaifah yang hanya belasan kilometer dari Madinah, rombongan singgah untuk istirehat dan mempersiapkan ihram.

Keesokan harinya, setelah semuanya siap untuk berihram, Rasulullah s.a.w. menunggang unta kembali dan meneruskan perjalanan ke Mekah dengan laungan talbiah yang disertai oleh para sahabat yang lain. Sepanjang perjalanan, mereka bertalbiah dengan semangat yang cukup membara hingga sampai di Sarif, 15 km di utara Mekah.

Di sini rombongan berhenti untuk beristirehat sebelum masuk ke Mekah. Ketika inilah Aisyah r.ha isteri kesayangan Baginda s.a.w. didatangi haid sehingga dia menangis kerana khawatir tidak dapat menunaikan haji. Baginda s.a.w. lalu menghiburkannya dengan katanya,

“Sesungguhnya haid itu ketentuan Allah untuk puteri-puteri Adam. Segeralah mandi dan engkau dapat melakukan semua manasik haji kecuali tawaf hingga engkau suci”

Pada hari Ahad 4 Dzulhijjah, Baginda s.a.w. berserta rombongan memasuki Mekah. Di sana sudah menunggu puluhan ribu umat Islam yang datang dari pelbagai penjuru hingga jumlahnya dianggarkan seramai seratus ribu orang. Rasulullah s.a.w. memasuki Masjidil Haram melalui pintu Bani Syaibah atau Bab as-Salam.

Itulah saat pertama kalinya dalam hidup Baginda s.a.w. menunaikan ibadah haji setelah sepuluh tahun berhijrah menyebarkan agama Allah, ketika umat Islam dari pelbagai bangsa dan kasta disatukan dengan keimanan yang teguh kepada Allah dan Rasul-Nya. Menurut Qatadah,

“Aku bertanya kepada Anas b. Malik berapa kali Baginda s.a.w. melaksanakan Haji?” Dia menjawab, “Satu kali dan berumrah sebanyak empat kali iaitu sekali di bulan Zulkaedah, umrah Hudaibiyah, umrah bersama haji dan umrah Ji’ronah tatkala membahagi harta perang Hunain” (HR Tirmizi)

Peristiwa Baginda s.a.w. menunaikan ibadah haji sekali dalam hidupnya turut disebut oleh Zaid bin Arqam yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. telah berperang sebanyak sembilan belas kali. Dan Baginda melaksanakan ibadah haji setelah hijrah sebanyak satu kali dan tidak melaksanakan haji setelah itu. Haji itu adalah haji Wada’.” (HR Bukhari)

Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron, Penyelaras Etika, Ketamadunan dan Kenegaraan, Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditanya tentang hikmah mengapa Baginda s.a.w. hanya berpeluang menunaikan haji sekali seumur hidupnya, sedangkan ia merupakan kemuncak pada segala ibadah yang jelas wajib, jawabnya

“Ibadah haji merupakan proses tarbiah yang terbesar bagi umat Islam. Ia memerlukan persediaan yang cukup rapi dalam pelbagai aspek seperti persediaan mental, fizikal, spiritual dan material. Allah S.W.T. menentukan bahawa Baginda s.a.w. hanya dapat menunaikannya pada tahun yang kesepuluh hijrah setelah Islam mencapai kegemilangannya khususnya kesatuan dan persaudaraan umat Islam benar-benar utuh.

Sememangnya ibadah haji adalah ibadah yang sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam. Ini terbukti apabila Baginda s.a.w. pernah menyatakan yang beliau bermimpi masuk ke Mekah kepada para sahabat.

Mendengarkan itu, para sahabat merasa teruja terutama saidina Umar r.a. yang seakan tidak percaya betulkah mereka tidak akan dapat masuk sedangkan Baginda s.a.w. telah bermimpi mengenainya, padahal Baginda Rasulullah s.a.w. tidak mengatakan mimpi tersebut mesti berlaku pada tahun itu juga.

Kisah ini membayangkan pada kita bahawa umat Islam pada ketika itu terlalu teruja dan ghairah untuk kembali ke Mekah, kerana ia tempat tumpah darah mereka. Sudah tentu perasaan rindu dan terkenang-kenang membuak dalam diri. Maka itu hanya kesabaran yang tinggi diperlukan.

Persedian rapi

Tambahnya lagi, ibadah haji bukanlah hanya sekadar ibadah badaniah tetapi ia juga melibatkan roh. Persediaan yang sehabis baik amat penting kerana kita hendak menunaikan ibadah yang cukup besar iaitu kemuncak pada rukun Islam yang lima.

Kemampuan menunaikan ibadah haji bukan hanya tertakluk kepada syarat wajibnya sahaja iaitu Islam, berakal dan merdeka, tetapi dalam aspek yang lain seperti kemampuan fizikal, iaitu sihat dalam erti kata yang sebenar mampu menunaikan segala rukun haji dengan baik.

Orang yang tidak sihat, begitu sukar baginya untuk melaksanakan ibadah. Selain dari itu juga adalah, kemampuan perbelanjaan serta kemampuan terhadap perjalanan yang aman dari sebarang rintangan atau bahaya pergi dan pulang.

Jika kita lihat sirah Baginda s.a.w. perjalanan selama sepuluh hari dari Madinah ke Mekah bukanlah satu perjalanan yang mudah. Pelbagai kesukaran dan kesulitan dihadapi menggambarkan betapa ibadah ini memerlukan satu bentuk kesabaran yang tinggi, keikhlasan yang besar dan kebijaksanaan tertentu.

Persediaan dari sudut ilmu juga sangat penting dititikberatkan agar jika terjadi sesuatu, seseorang itu dapat menanganinya dengan sebaik mungkin. Sekiranya soal keilmuan ini hanya dipandang enteng dengan sikap acuh tidak acuh tanpa ditangani dengan sempurna, mungkin ibadah yang memerlukan pengorbanan yang besar dari sudut fizikal dan material ini akan menyebabkan pembaziran dan kerugian dek melakukan perbuatan yang membatalkan ibadah tersebut sama ada sedar atau tidak.

Dalam soal ini, walaupun mungkin berkemampuan untuk mengerjakannya di masa yang akan datang, tetapi perlu letakkan ia sebagai destinasi ibadah yang terakhir dalam hidup yang tidak mungkin mempunyai peluang lagi. Perkara ini penting supaya bakal-bakal haji benar-benar membuat persediaan yang secukupnya.   

Jangan sesekali hanya memikirkan ibadat haji yang sah sahaja, sebaliknya perlu ada kesempurnaan. Kesempurnaan itu hanya diperoleh dengan rasa keinsafan yang benar-benar memberi kesan dalam hati terutama apabila memikirkan bagaimana kesukaran dan kesusahan yang ditempuh oleh Baginda s.a.w. serta sahabat menunaikan ibadah tersebut.

Bukan sekadar itu, kesempurnaan haji turut menjadikan ia Muslim yang berkualiti, yang tetap meneruskan kesinambungan ibadah walaupun selepas musim haji dan pulang ke tanah air. Sememangnya ibadah haji adalah salah satu mekanisme Islam yang sangat cantik direalisasikan bagi tujuan perpaduan dan penyatuan umat Islam seluruh dunia.

Sebagai umat Islam yang beriman, mereka dituntut mendirikan solat berjemaah terutama golongan Muslimin di mana sahaja setiap pada hari dan waktu dengan tujuan perpaduan. Kemudian setiap minggu diwajibkan pula solat berjemaah di masjid yang ditentukan dengan jumlah yang lebih besar.

Dan kemudian setahun sekali pula dituntut menunaikan solat sunat hari raya di kawasan yang lebih luas seperti di padang atau stadium dengan skala yang lebih besar. Dan terakhirnya di peringkat antarabangsa, seumur hidup sekali umat Islam diwajibkan pula menunaikan haji di Baitullah.

Proses ini tidak lain adalah satu bentuk penyatuan yang dapat menjana kasih sayang sesama umat Islam dalam semua peringkat bermula daripada skala yang kecil hingga ke skala yang lebih besar. Ia tidak lain hanyalah untuk menunjukkan umat Islam harus bersatu walau berbeza bangsa dan warna kulit. Wallahu a’lam   

_________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare