KERAJAAN meluluskan peruntukan tambahan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Perkara itu diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ketika berucap sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan (AKU) 2022, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan SPIM di bawah TEKUN yang diperuntukkan sebanyak RM200 oleh kerajaan telah pun habis.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan untuk Program Peningkatan Keupayaan Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp sebanyak RM30 juta.

“Sebelum mengakhiri ucapan, saya dimaklumkan bahawa SPIM di bawah TEKUN yang diperuntukkan sebanyak RM200 juta oleh kerajaan telah habis.

“Justeru, bagi kepentingan para usahawan kecil, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.

“Selain itu BEEP di bawah SME Corp. peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2022 ini telah habis. Oleh itu, saya umumkan kerajaan meluluskan RM30 juta peruntukan tambahan bagi tujuan ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama pemenang dalam Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022, malam ini.

Baca artikel berkaitan: PM bimbang isu kebankrapan anak muda, teliti semula akta

Sementara itu, Perdana Menteri turut berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dapat menganjurkan lebih banyak program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada usahawan tempatan.

Katanya, ia selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Bersandarkan kepada aspirasi Keluarga Malaysia, Perdana Menteri berkata, semua pihak wajar saling menyokong bagi memperkasakan semula sektor perniagaan dan merancakkan usaha pemulihan ekonomi negara.

“Sektor perniagaan dijangka terus menyumbang ke arah usaha pemulihan ekonomi negara hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan.

“Kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor perniagaan PMKS demi memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

“Semoga dengan usaha ini, cabaran yang melanda kesan akibat pandemik akan berlalu pergi dengan impian mendatang,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram