Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengadakan sidang media berhubung pemecatan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan ramai pemimpin UMNO pernah meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan sebagai Presiden parti tersebut.

Menurut Tajuddin, antara pemimpin yang pernah menyertai gerakan untuk mendesak Ahmad Zahid berundur ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas beliau, gerakan itu pernah dibincangkan kepimpinan parti pada Mei 2020 berikutan kebimbangan terhadap kes-kes mahkamah yang terpalit pada Presiden itu sekali gus boleh menjejaskan imej UMNO.

“Tok Mat dan Bossku (Najib) dan lain-lain yang saya sebutkan tadi kita nak buat satu memorandum. Ia pada Mei 2020 dan Perhimpunan itu dibuat di rumah saya.

“Kita nak minta dia turun secara baik. Kita tak naklah tendang-tendang. Minta kita buat tinjauan ketua-ketua bahagian.

“Berapa ketua bahagian yang setuju? Saya ingat 130 orang ketua bahagian. Perak 18 orang ketua bahagian. Selangor 17 ke apa,” jelasnya pada sidang media hari ini.

Baca artikel berkaitan: Memang ada SD ditandatangani untuk angkat Anwar jadi PM – Tajuddin Rahman

Sementara itu, Tajuddin turut membidas keputusan MT UMNO mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tegas beliau, Ahmad Zahid didakwa hanya menggunakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk mengumpan Ismail Sabri bagi menuntut PRU-15 diadakan secepat mungkin.

Malah, Tajuddin mendakwa, taktik umpanan itu hanya sebahagian daripada usaha Ahmad Zahid untuk menjadi Perdana Menteri dengan segera.

“Tidak payah umpan PM (Perdana Menteri) jadi ‘poster boy’ pilihan raya untuk UMNO-BN. Hakikatnya tawaran sebegitu dibuat supaya Ismail Sabri segera mengadakan pilihan raya.

“Tujuan Zahid tidak lain tidak bukan hanyalah mahu membolehkan beliau pula menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram