PENYANYI Nikki Palikat menyatakan salah satu punca penceraiannya bersama bekas suami, Audi Mok disebabkan tiada lagi keserasian di antara mereka.

Baru-baru ini, penyanyi berusia 36 tahun itu membuat pengakuan mengejut apabila mengakui dia sudah bercerai dengan bekas suaminya yang juga merupakan seorang komposer itu.

Nikki, atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Nikki Palikat, turut memberitahu bahawa dia sudah 10 tahun memendam rasa tidak bahagia bersama bekas suaminya itu namun harus memikirkan kesejahteraan anak mereka.

Tambah Nikki, dia bersama bekas suaminya itu juga telah berjumpa dengan ramai pakar kaunselor malah keputusannya tetap tiada keserasian di antara mereka.

“Saya rasa saya perlu berterus terang. Saya dah tak nak berselindung lagi dan saya dah tak nak tipu siapa-siapa dah.

“Banyak percanggahan dan perselisihan yang berlaku di antara kita adalah disebabkan tiada keserasian. Tapi saya pendam benda ni lebih dari 10 tahun. Kami cuba juga untuk mengusahakan supaya rumah tangga kami menjadi bahagia, tapi memang sah kami tak ada keserasian. Ia takkan berhasil.

“Kami dah jumpa ramai pakar kaunselor. Kaunselor itu sendiri pun bila mengenali secara dekat dan melihat situasi kami ini, mereka sendiri takut nak berterus-terang yang keserasian kami ni sangat rendah.

“Sebenarnya juga saya dah lama fikir bagaimana nak bagitau anak saya. Kerana demi kesejahteraan anaklah, saya sanggup pendam dan bertahan dengan jangka masa yang lama,” katanya kepada URTV.

Nikki berkata demikian ketika ditemui di Indigital Music, Metropolitan Square petang tadi.

Pelantun lagu Sudah itu juga turut berkata, walaupun dia bersama Audi bukan lagi suami isteri, namun hubungan mereka masih rapat sebagai seorang kawan dan ahli keluarga.

“Sebagai pasangan suami isteri memang kami tak boleh. Tapi terus terang, walaupun saya tak bahagia sebagai seorang isteri, tetapi sebagai seorang ahli keluarga atau sebagai seorang kawan, hubungan kami sentiasa rapat.

“Dahulu, ketika acara Gegar Vaganza, saya sakit fan dimasukkan ke hospital, dia yang datang masakkan bubur untuk saya. Pada lagu single saya iaitu Sudah, dia lah yang tolong terbitkan vokal.

“Dia pun ada bagitahu saya, walaupun sudah tidak lagi bersama, dia akan sentiasa bersama saya dan sokong saya tak kira apa cara sekalipun. Kami pun membuat keputusan untuk teruskan sebagai bekas pasangan suami isteri,” ujarnya yang bercerai pada Mac tahun lalu.

Untuk rekod, Nikki dan Audi mendirikan rumah tangga pada 2009 dan telah dikurniakan seorang anak lelaki bernama, Liam, 12.