SIAPA tidak mengenali sosok penyanyi terkenal Hollywood, Taylor Swift yang sudah meraih pelbagai anugerah hebat dalam industri seni hiburan antaranya Anugerah Grammy!

Taylor berkongsi dia masih mahu mengembangkan lagi bakatnya dan mengejar impian untuk menjadi seorang pengarah muzik pada masa akan datang.

“Saya berminat untuk menjadi pengarah selepas terpaksa mengarahkan sendiri muzik video saya berjudul The Man. Pengarah wanita yang saya mahukan ketika itu sangat sibuk sehingga saya terpaksa mengambil alih tugasnya.

“Saya lebih suka jika muzik video saya diarahkan oleh seorang pengarah wanita, namun kebanyakan mereka terlalu sibuk,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 33 tahun itu, semenjak menjadi pengarah buat kali pertamanya dalam penghasilan muzik videonya itu, sehingga kini dia masih menyimpan keinginan untuk menjadi pengarah muzik video seterusnya.

Dalam pada masa itu, Taylor memberanikan dirinya menceburi bidang pengarahan dengan mula mengarah filem pendek pertamanya yang bertajuk All Too Well: The Short Film.

Namun, dia akui kerap berfikir sama ada harus melakukan perkara tersebut atau tidak sehingga disahkan mengalami “imposter syndrome”.

“Saya memiliki ‘imposter syndrome’ di fikiran yang mengatakan, saya tidak akan melakukan itu, sebaliknya orang lain yang lebih berpendidikan akan melakukan tugas terbabit.

“Namun dalam fikiran saya selalu berkata yang saya sudah lama mengimpikan saat ini dan saya suka mencabar diri melakukan hal baharu. Jadi, saya cuba mencari kekuatan dan akhirnya saya yakinkan diri yang saya benar-benar ingin melakukan perkara ini,” katanya.

Bagi pengetahuan umum, ‘imposter syndrome’ merupakan salah satu penyakit yang melibatkan perasaan seseorang itu menganggap segala yang diraih olehnya hanyalah kebetulan dan bukan atas usahanya sendiri.

Untuk rekod, selain menyanyi, Taylor juga aktif dalam dunia lakonan dengan membintangi Hannah Montana : The Movie, Valentine’s Day, The Lorax dan Miss Americana.