AHLI Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama hari ini mengumumkan keluar daripada Bersatu yang disertainya selepas meninggalkan Parti Warisan (Warisan) tahun lepas.

Mohamaddin berkata, beliau bertindak demikian atas sebab tidak diberi peranan serta kepercayaan untuk mengukuhkan parti tersebut terutama di peringkat akar umbi di kawasan Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, setelah lebih enam bulan bersama Bersatu.

Beliau berkata, walaupun keluar daripada sebuah parti membentuk kerajaan, beliau kekal sebagai Ahli Parlimen dan ADUN yang menyokong kerajaan Persekutuan juga Sabah dalam kapasiti sebagai wakil rakyat bebas.

Baca artikel berkaitan: Selepas Mazlan, Mohd. Izhar pula sah keluar Bersatu

“Setelah lebih enam bulan tiada sebarang peranan diberikan, saya tidak rasa kecewa dan saya anggap mungkin Bersatu sudah cukup kuat di Parlimen Lahad Datu dan DUN Segama oleh itu tiada keperluan untuk saya bertahan lama di parti ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 30 Okt tahun lepas Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Parti Warisan (Warisan) sebelum menyertai Bersatu pada 26 Nov tahun lepas, dan hari ini membuat keputusan keluar daripada Bersatu.

Mohamaddin juga tidak menghiraukan persepsi orang ramai yang mengelar dirinya sebagai ‘katak’ atau ‘monyet’ melompat parti, kerana apa yang lebih penting baginya adalah untuk terus berkhidmat kepada penduduk kawasan Parlimen Lahad Datu dan DUN Segama.

“Siapa mahu panggil katak atau monyet panggil lah… tetapi kalau katak ada pelajaran dia lompat atas itu tempurung maknanya (lompat) untuk mencari kehidupan lebih baik untuk rakyat yang diwakilinya, saya cuba bawa penyokong saya bantu tetapi mereka tidak terima jadi all the best buat mereka,” katanya.

Ditanya tentang perancangan Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang, beliau mengakui masih tidak berfikir secara teliti lagi mengenai perkara itu, namun sedang menilai apa yang boleh beliau sumbangkan untuk penduduk serta pembangunan kawasan Lahad Datu sekiranya mahu bertanding sekali lagi.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram