KONSERT Kembara Panorama Jingga:144 Hijrah yang akan diadakan pada 31 Julai ini akan mengubati kerinduan peminat yang kali terakhir menononton persembahan kumpulan Kembara pada 2014.

Kembara yang dianggotai oleh Datuk M.Nasir selaku vokalis, Zoul (gitar utama & vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan mengheret penonton ke suatu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Buat Zoul, semangat mereka kali ini lebih membara untuk menghiburkan peminat yang setia sejak penubuhan kumpulan itu pada 1979.

“Saya merasakan bahawa semangat kami lebih walaupun usia semua sudah agak menjangkau tetapi semangat kuasa kuda masih ‘maintain’.

“Kami betul-betul teruja dengan konsert yang akan datang ini,” katanya.

Sudah memulakan persiapan sejak dua bulan lalu dan membayangkan bahawa banyak lagu yang akan dimainkan khusus untuk para peminat setia mereka.

Lebih menarik lagi, pemilihan lagu-lagu untuk konsert kali ini dibayangkan dalam repertoir yang sangat istimewa dan unik.

“Kita banyak nak kena main lagu-lagu yang belum pernah dinyanyikan lagi. Jadi, kami perlu lebih banyak buat latihan.

“Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan, istimewanya kerana lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun.

“Tak disangka bila Kembara semak balik lagu-lagu yang ada, kita sendiri jadi ‘ehh lagu ni sedap’ dan patut diketengahkan sebelum ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Shahrum yang sebelum ini tidak dapat beraksi dalam konsert terdahulu,mengakui ternanti-nantikan konsert yang akan berlangsung pada penghujung Julai depan.

“Konsert ini saya rasa macam yang terbaik untuk semua kerana konsert yang lepas saya tak dapat main kerana tuntutan kerja. Saya berasa bangga dan akan buat terbaik,” ungkapnya.

Sementara itu, M.Nasir memberitahu tentang keistimewaan konsert kali ini dengan menyifatkan ia sebagai suara satu generasi.

“Istimewanya konsert ini kerana ia merupakan suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 80-an.

“Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi seni kata. Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas kami.

“Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (80 an) sahaja. Dan bentuk muzik akan menjangkau generasi,” katanya.

Konsert yang bermula pukul 8.30 malam itu nanti akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) sudah dijual mulai 10 Jun lalu.

Peminat-peminat Kembara juga boleh membeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert di laman web www.myticket.asia.

Shiraz Projects mengharapkan para peminat Kembara khususnya akan mendukung konsert ini. Melihatkan sokongan yang diberikan kepada selebriti tanah air yang muncul dengan pelbagai konsert tahun ini, Shiraz malah yakin konsert ini memang ditunggu-tunggu.

Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah tesebut disifatkan akan mengubat rindu peminat Kembara di zaman 80-an dan akan juga memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali muzik Kembara dengan lebih akrab lagi.