Annuar mendengar taklimat semasa lawatannya ke pejabat DNB hari ini.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) akan mengumumkan inisiatif baharu bagi memperbaiki perkhidmatan jalur lebar negara.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau sendiri akan mengumumkan inisiatif berkenaan.

“Seperti biasa saya akan melihat dengan dekat mengenai status terkini pelaksanaan rangkaian 5G negara oleh DNB (Digital Nasional Berhad) bagi memastikan semuanya mengikut jadual.

“Saya akan buat beberapa pengumuman dalam masa terdekat berhubung inisiatif-inisiatif baharu untuk terus memperbaiki perkhidmatan jalur lebar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman rasmi Facebook miliknya hari ini.

Dalam hantaran itu, Annuar turut berkongsi gambar lawatannya beliau ke pejabat DNB untuk mendapatkan taklimat status terkini pelaksanaan projek 5G negara.

DNB ialah syarikat tujuan khas Malaysia yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

DNB ditubuhkan pada awal Mac 2021 antaranya untuk memacu pembangunan infrastruktur 5G di Malaysia.