PASANGAN popular Korea Selatan, Son Ye Jin dan Hyun Bin mengumumkan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Khabar menggembirakan itu dikongsi menerusi akaun Instagram pasangan itu.

“Hari ini saya mahu berkongsi berita gembira iaitu kehidupan baharu akan datang kepada kami.

“Saya masih terkejut namun saya tetap menikmati hari-hari mendatang dengan merasai perubahan yang berlaku pada tubuh badan saya.

“Saya sangat bersyukur tetapi pada masa sama tetap berhati-hati kerana sebelum ini tidak dapat berkongsi kepada semua orang.

“Kepada peminat yang menanti, kami sampaikan berita ini sebelum terlewat,” tulis Ye Jin di ruangan kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen, ramai peminat begitu teruja dan gembira mendengar artis kesayangan mereka itu bakal bergelar ibu dan bapa.

Malah, ramai yang mengucapkan tahniah dan menitipkan pesanan agar menjaga kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan dengan baik.

Pasangan itu mula menjalinkan hubungan sewaktu terlibat dalam penggambaran Crash Landing On You yang disiarkan di Netflix pada 2019.