Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin

MIC tidak perlu memberi komentar tentang hal dalaman UMNO dengan tampil memanjangkan cerita susulan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin berkata, hal dalaman UMNO adalah elok diuruskan parti itu sendiri apatah lagi ia sudah dijelaskan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan, Shahril Hamdan.

Katanya, mungkin MIC lupa semasa parti itu ‘tersilap’ masuk Perikatan Nasional (PN), Ketua Penerangan UMNO langsung tidak meminta agar mereka memberi penjelasan.

“MIC tidak perlu memberi komentar tentang hal dalaman UMNO. Biar UMNO menguruskannya. Jurucakap UMNO sudah pun bersuara. MIC tak perlu tampil memanjangkan cerita.

“Esok bila masuk PRU (Pilihan Raya Umum), MIC juga akan dibantu oleh jentera UMNO sepertimana kita telah pun membantu dalam PRN (Pilihan Raya Negeri yang melihat kebangkitan semula MIC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah portal berita memetik Ketua Penerangan MIC, R Thinalan sebagai berkata, pelbagai dakwaan oleh Tajuddin itu menimbulkan pelbagai persoalan dan mencetuskan rasa ingin tahu oleh segelintir pimpinan dan akar umbi BN.

Sehubungan itu MIC menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak segera tampil menjernihkan kembali keadaan.

Mengulas lanjut, Muhamad Iqbal berkata, beliau keliru apabila Thinalan tidak membaca kenyataan Ketua Penerangan UMNO agar tidak perlu mengadu domba.

Katanya, jika MIC ingin bertanya, mereka boleh sahaja bertanya pemimpin BN tanpa membuat kenyataan media.

“Nasihat saya kepada Saudara Thinalan, usah jaga tepi kain orang. Fokus perkukuhkan MIC bagi menghadapi PRU dan meyakinkan masyarakat India untuk kembali ke Barisan Nasional,” tegasnya.

Menurutnya, hasil kepemimpinan Ahmad Zahid, UMNO telah menang 7 Pilihan Raya Kecil (PRK), mengambil alih negeri Perak, menang besar pada PRN Melaka dan Johor yang mana MIC menang 3 kerusi dan mendapat satu Exco Kerajaan Negeri Johor.

Tambahnya, yang terbesar, apabila 15 ahli Parlimen mendesak, akhirnya Naib Presiden UMNO jadi Perdana Menteri Malaysia malah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disahkan dalam mesyuarat MKT menjadi calon PM untuk PRU15.