niat bersyarat ketika ihram
Jemaah haji boleh niat bersyarat jika bimbang tidak dapat menyempurnakan rukun haji. foto: fb Lembaga Tabung Haji

Haji merupakan satu ibadah yang difardukan oleh Allah Taala mengikut kemampuan hamba-Nya. Ini menggambarkan rahmat Allah Taala terhadap kita semua. Allah Taala berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 97,

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

Di dalam sebuah hadis, Aisyah r.a. menceritakan bahawa Duba’ah binti al-Zubair telah mengunjungi Nabi s.a.w. dan berkata:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya ingin menunaikan haji namun saya tidak sihat. Lalu Nabi s.a.w. bersabda: Tunaikanlah haji dan syaratkan bahawa tempat tahallulku adalah di mana Engkau tahan aku. (HR al-Bukhari dan Muslim).

Al-Imam al-Nawawi rahimahullah meletakkan hadis ini di bawah topik “Dibenarkan bagi muhrim untuk bersyarat tahalul kerana sakit dan sebagainya”.

Perlulah ditekankan bahawa erti muhrim ialah orang yang berihram untuk haji dan umrah. Semasa menghuraikan hadis ini, al-Imam al-Nawawi rahimahullah telah berkata,

“Hadis Duba’ah merupakan dalil bagi pendapat ulama yang mengatakan dibenarkan ihram bersyarat dalam haji dan umrah, bahawa jika dia sakit dia akan tahalul”.

Ini merupakan pendapat Umar bin al-Khattab, Ali, Ibnu Mas’ud dan lain-lain di kalangan para sahabat r.a. Ia juga merupakan pendapat sekumpulan para tabi’in serta Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan merupakan pandangan terkuat dalam mazhab al-Syafi’i. Dalil mereka ialah hadis ini yang sahih dan jelas. 

Beliau menjelaskan lagi bahawa Abu Hanifah dan Malik serta sebahagian para tabi’in pula mengatakan bahawa bersyarat dalam ihram adalah tidak sah. Mereka mengatakan hadis ini adalah kes terpencil dan khas untuk Duba’ah. Al-Qadhi Iyadh pula menghukum hadis ini sebagai daif dengan berkata,

“Al-Asili telah mengatakan bahawa tidak sabit sanad sahih berkenaan bersyarat dalam ihram.”

Seterusnya al-Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pandangan yang mengatakan hadis ini daif adalah salah. Ini kerana hadis ini masyhur dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi dan Sunan al-Nasa’i serta kitab-kitab hadis yang lain. Hadis ini disebut dalam kitab-kitab itu dengan sanad yang pelbagai dari sekumpulan para sahabat.   

Berdasarkan nukilan ringkas kenyataan al-Imam al-Nawawi ini, dapatlah kira rumuskan bahawa orang yang ingin menunaikan haji atau umrah boleh bersyarat semasa berihram, khususnya bila ada keuzuran atau kekhuatiran.

Bersyarat ini ialah dengan menyatakan bahawa jika dia terhalang oleh sakitnya atau sebagainya maka di situlah tempat dia bertahalul. Jika dia bersyarat dalam ihram lalu dia terhalang daripada menunaikan haji atau umrahnya maka dia hanya perlu bertahalul tanpa perlu menyembelih binatang korban.

Namun, bersyarat ini bukanlah satu kemestian. Mereka yang tidak bersyarat dalam ihram pula, jika terhalang daripada menunaikan haji atau umrah, mereka perlu menyembelih binatang korban kemudian bertahalul dengan mencukur rambut mereka.

Ini adalah berdasarkan ayat 197 surah al-Baqarah dan juga seperti yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam peristiwa al-Hudaibiah. Apabila Rasulullah s.a.w. dilarang daripada memasuki Mekah oleh Quraish, Baginda dan para sahabat menyembelih binatang korban dan mencukur rambut mereka (HR al-Bukhari).

Ringkasnya, adalah disarankan bagi para jemaah haji dan umrah untuk mengamalkan isytirat iaitu bersyarat dalam ihram. Ini kerana mutakhir ini didapati ada di kalangan jemaah yang terhalang daripada meneruskan manasik haji atau umrah.

Dengan keadaan covid yang masih ada ketika ini seeloknya jemaah haji melakukan niat bersyarat

Mereka diarah pulang kerana pelbagai masalah, antaranya adalah masalah wabak yang menular seperti covid19 ketika ini. Begitu juga bagi wanita yang tidak datang haid lagi sebelum berangkat ke tanah suci dan merasa bimbang jika haid datang ketika menunaikan ibadah haji atau umrah di sana.  

Justeru Islam memudahkan dengan menyediakan solusi lain dengan cara niat bersyarat. Niat bersyarat ialah meletakkan syarat semasa berniat ihram haji atau ihram umrah.

Cara Niat bersyarat

Cara atau kaifiyat melakukan niat bersyarat ialah mesti melafazkan serentak dengan niat umrah atau haji ketika di miqat. Sertakan syarat dalam hati ketika berniat dan bukannya meletakkan syarat selepas berlalu satu tempoh selepas berniat. Contoh niat bersyarat sebagaimana berikut:

  • Contoh syarat disertakan dengan niat semasa berniat:

Sebelum haid. Wanita itu berniat di miqat:

“Sahaja aku mengerjakan umrah/haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala. Sekiranya haidku berterusan sehingga hari aku pulang ke tanah air (Malaysia) maka aku jadi halal”

  • Contoh syarat yang tidak disertakan dengan niat semasa berniat. Ini mengakibatkan niat haji / umrahnya sah, tetapi syaratnya tidak diterima

Sahaja aku mengerjakan umrah/haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala”

Kemudian selepas satu tempoh, seperti setelah sampai di Makkah dan berasa bimbang haidnya tidak akan berhenti atau sengaja dibuat sebagai satu strategi mengelak keadaan tidak boleh melakukan tawaf rukun dan terpaksa pulang baru meletakkan syarat “Sekiranya aku haid maka aku akan jadi halal”

Ataupun boleh jadi ketika dalam haid, jemaah wanita terbabit hanya berniat “Sahaja aku mengerjakan umrah/haji dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala”, tetapi setelah sampai ke Makkah dan berasa bimbang haidnya tidak akan berhenti atau sengaja juga dibuat sebagai satu strategi mengelak keadaan tidak boleh melakukan tawaf rukun dan terpaksa pulang ke tanah air, baru dia meletakkan syarat “Sekiranya haid aku berterusan sehingga hari aku pulang ke tanah air (Malaysia) maka aku jadi halal”

Kedua-dua contoh ini tidak memenuhi kaifiat melakukan niat bersyarat kerana berdasarkan hadis di atas, Rasululllah menyebut ‘Tunaikan haji dan syaratkan..’ sebagai tanda meletakkan syarat seiringan dengan niat haji/umrah.

Sebaiknya, jika dalam keadaan haid atau bimbang akan haid datang, atau juga bimbang dijangkiti covid19 maka buatlah seperti cara yang dinyatakan di atas

Justeru mereka boleh mengambil alternatif ini untuk menghadapi kemungkinan terhalang daripada menyempurnakan ibadah haji atau umrah. Semoga Allah Taala memudahkan amal ibadah kita. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihani terhadap hamba-hamba-Nya. Wallahu a’lam

__________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare