PENYANYI dan pelakon, MK K-Clique akui aksi mesra berpegangan tangan di khalayak baru-baru ini adalah salahnya dan ia tidak disengajakan.

Terdahulu tular di media sosial apabila artis kelahiran Sabah itu berpegangan tangan bersama wanita yang dikenali sebagai Hajaar Siti menjadi bualan hangat terutama peminat-peminat setianya.

Mk atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 26, memberitahu bahawa dia memegang tangan wanita tersebut atas sebab mengejar masa gara-gara terlambat untuk menghadiri sebuah majlis sambutan Aidilfitri.

“Isu pegang tangan ini sebenarnya ada sesetengah berpendapat salah faham. Tetapi ketika itu keadaan yang huru-hara, kelam kabut. Kami dah lambat. Kami nak cepat. Benda itu automatik (pegang tangan).

“Depan saya ada kakak, tepi pula adik-beradik saya. Nak tunjuk mesra, (kami) belum boleh mesra,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Penyanyi rap itu juga menjelaskan bahawa dia akan mengumumkan kepada media dan umum sekiranya bakal berkahwin apabila sudah bersedia kelak.

“Tidaklah. Saya tak akan diam-diam. Benda ini (kahwin) kena uar-uarkan. Insya-Allah dah sampai masa, saya dah bersedia nanti akan dikongsi,” ujarnya lagi.

Mengimbas kembali kontroversi pada April lalu, MK dikatakan membuat hati para peminatnya hancur berkecai setelah tular dia memuat naik beberapa keping gambar bersama teman istimewanya itu.

Dengan kapsyennya ‘Saya sayang awak’ sudah cukup membuatkan ruangan komen kongsian tersebut penuh dengan luahan sedih daripada peminat-peminat wanitanya yang setia.

Untuk rekod, MK kini sedang sibuk dengan dunia lakonan dan antara filem yang bakal menampilkan anggota kumpulan K-Clique itu adalah 7 Hari Sebelum Kahwin terbitan KRU Studios.