Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengangkat jenazah pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang. GAMBAR FAIL: Abd Razak Aid

JENAZAH Islam yang dijangkiti Covid-19 dibenarkan untuk dimandi dan dikafankan setelah Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak semula tatacara pengurusan jenazah termasuk bukan Muslim.

Menterinya, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, ia dibolehkan dengan mengamalkan langkah berhati-hati antaranya urusan mandi dan kafan dilakukan oleh pengendali jenazah terlatih di hospital dengan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap.

Langkah itu katanya termasuk mengelakkan aktiviti yang berunsur prosedur penjanaan aerosol (AGP) dan hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE lengkap dibenar membantu urusan memandikan dan mengafankan jenazah di hospital.

“KKM ingin memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 disemak semula agar ia relevan dengan situasi semasa.

“Semakan semula ini juga adalah sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, bagi pengurusan mayat bukan Islam yang dijangkiti Covid-19, jika prosedur last rite atau upacara terakhir memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan mayat tanpa prosedur AGP.

Selain itu, hanya dua waris lengkap vaksinasi dibenarkan menyertai urusan berkenaan.

Turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah atau mayat yang dijangkiti COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat.

Beliau menjelaskan, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam upacara pengebumian jenazah tetapi perlu memakai PPE.

KKM tambah beliau tidak menetapkan jumlah individu yang hadir ke upacara itu, namun perlu memakai pelitup muka dan elakkan dari bersesak-sesak.