Ismail Sabri menyampaikan cenderamata semasa menerima kunjungan Sheikh Dr. Muhammad AbdulKarim Al-Issa di pejabatnya hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan rasa bangga beliau apabila dimaklumkan Malaysia merupakan negara contoh kepada masyarakat dunia kerana berjaya membentuk perpaduan antara kaum.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu dinyatakan semasa beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL), Sheikh Dr. Muhammad AbdulKarim Al-Issa di pejabatnya hari ini.

“Dalam pertemuan ini, saya nyatakan harapan agar hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi terus kukuh bagi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran Facebook terbaharunya hari ini.

Sheikh Dr. Muhammad berada di Malaysia bagi menghadiri Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang diadakan esok.

Kata Perdana Menteri, beliau akan menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan yang julung kali diadakan di Malaysia.

Persidangan sehari di Bandar Sunway, Petaling Jaya itu menghimpunkan wakil dari 20 negara di rantau Asia, yang akan berkongsikan tentang konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat serta membawa mesej penyatuan ummah.