CUBA anda bakar sudu atas api, kemudian lekapkan pada lidah? Membayangkannnya saja sudah tentu berasa sakit, apatah lagi jika dilakukan, silap haribulan bukan saja lidah cedera tetapi boleh rosak deria rasa.

Tahukah anda, melekapkan besi panas pada lidah pernah menjadi satu tradisi di Arab Saudi suatu ketika dahulu. Tujuannya, hanya untuk mengesan sama ada orang itu menipu ataupun tidak.

Tradisi aneh ini pernah dilakukan puak Bedouin. Menurut catatan, dahulu wujud satu puak Ayayideh di selatan Arab Saudi yang menjadi pencetus kepada kemunculan tradisi ini.

Diceritakan bahawa ketua puak tersebut, Weymer Abu Ayad telah dirompak. Dia telah menangkap sendiri perompak tersebut, namun tiada saksi yang melihat kejadian itu.

Weymer kemudian mencabar perompak itu supaya membakar lidah bagi membuktikan dia bukan perompak. Pada masa yang sama, Weymer juga akan membakar lidahnya bagi membuktikan dia tidak menipu. Akhirnya, perompak itu melarikan diri kerana takut dan sekaligus membuktikan dakwaan Wemyer adalah benar.

Berdasarkan kisah tersebut, tradisi ini dijalankan jika tiada saksi bagi sesuatu kes kecurian. Upacara ini akan dilakukan jika kes tersebut mendatangkan keraguan dan boleh dipertikaikan.

Membakar lidah untuk membuktikan orang itu berbohong atau tidak pernah menjadi tradisi puak Bedouin pada zaman dulu.

Sejak itu, cara ini dijadikan amalan oleh pihak Bedouin untuk mengenal pasti penipuan yang dilakukan oleh seseorang yang dituduh. Namun, cara ini hanya dilakukan terhadap kes-kes yang serius sahaja.

Tertuduh harus rela lidahnya dibakar sebelum ritual dijalankan. Namun, jika tertuduh telah melarikan diri sebelum acara bermula, tertuduh tersebut dianggap bersalah.

Alat yang digunakan dalam tradisi membakar lidah ini adalah besi yang mempunyai bentuk seperti senduk yang dikenali sebagai ‘tassa bil basha’. Besi ini akan dibakar sehingga merah menyala. Kemudian, gas gasolin akan dituangkan ke atas besi panas ini. Objek besi lain seperti pisau dan sudu turut digunakan sekiranya senduk ini tiada.

Besi berbentuk senduk akan dibakar untuk ditekapkan pada lidah tertuduh.

Bagi mendapatkan kesahihan, seorang ‘Mubesha’ dilantik untuk mengesahkan sama ada tertuduh bersalah atau tidak. Mubesha juga bertanggungjawab untuk menyempurnakan ritual kemuncak adat ini iaitu dengan meletakkan besi panas ke atas lidah tertuduh.

Selepas besi itu diletakkan, Mubesha akan melihat lidah tertuduh sama ada terbakar hangus ataupun tidak. Selain Mubesha, terdapat beberapa orang saksi lain yang akan turut melihat lidah tertuduh.

Jika lidah tertuduh hangus terbakar, maka tertuduh dianggap bersalah. Namun jika lidah tertuduh tidak terbakar dan warna lidah merah seperti asal, tertuduh dianggap tidak bersalah. Mereka percaya bahawa jika lidah tidak hangus, maka tertuduh dianggap tidak menipu.

Keputusan ritual ini bergantung seratus peratus kepada Mubesha yang menghakimi ritual tersebut. Tertuduh turut dibekalkan air selepas lidahnya dibakar.

Jika lidah tertuduh terbakar atau hangus, bermakna dia bersalah.

Rata-rata tertuduh yang melakukan ritual ini biasanya akan kehilangan deria rasa lidah mereka sama ada dalam tempoh panjang atau seketika bergantung kepada suhu besi yang digunakan.

Semasa ritual ini dijalankan, muzik tradisional akan dimainkan dan ia dibenarkan ditonton kepada penduduk. Minuman seperti teh turut dihidangkan kepada penduduk yang datang untuk menyaksikan ritual ini.

Bagaimana lidah orang yang menipu akan hangus, sedangkan yang jujur tidak ada apa-apa? Bila difikirkan memang tidak logik. Namun ada juga teori saintifik yang menjelaskan perkara ini.

Mengikut kajian sains, tekanan dan ketakutan orang yang menipu dan bersalah akan membuatkan mulut mereka menjadi lebih mudah kering. Sebab itu lidah mereka yang berbohong ini lebih mudah melecur atau ‘hangus’ bila dilekapkan dengan besi panas.

Pada zaman sekarang, tradisi ini telah lama ditinggalkan, apatah lagi sejak ia diharamkan oleh kerajaan Arab Saudi. Masyarakat pada masa kini lebih cenderung memilih sistem penghakiman dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara mereka berbanding menjalankan ritual membakar lidah ini.

Tradisi aneh ini sudah ditinggalkan seiring dengan peredaran zaman.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’