“Dia ingat semua lagu-lagu saya. Bila saya suruh dia nyanyi lagu Aku Penghibur, dia tahu keseluruhan lirik.”

Demikian kata penyanyi legenda terkemuka, Datuk Jamal Abdillah yang meluahkan rasa terharu apabila seorang peminatnya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) Sindrom Down datang membeli tiket bagi menyaksikan Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Menurut Jamal,63, pemuda itu begitu meminati lagu-lagunya nyanyian dan sering mengikuti perkembangan karier seninya.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert tribute kenang jasa Ahmad Nawab

“Ketika berada di Istana Budaya sekitar tengah hari tadi, saya terlihat satu keluarga sedang berada di kaunter untuk membeli tiket konsert.

“Saya nampak dari jauh dan kemudian saya panggil mereka. Terharu juga rasanya bila saya dimaklumkan oleh ibu dan bapa pemuda itu yang dia sangat meminati lagu-lagu nyanyian saya. Kami sempat bergambar sebagai simpanan untuk kenang-kenangan.

“Saya dimaklumkan pemuda berusia dalam lingkungan belasan tahun itu bersama keluarganya tinggal di luar Kuala Lumpur dan ingin menonton konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab,” katanya ketika dihubungi URTV.

Sementara itu, Jamal turut memberitahu jualan tiket masih lagi dibuka dan penonton yang ingin menyaksikan persembahan hebat daripada dirinya sendiri, Datuk Khadijah Ibrahim, Ramlah Ram, Shidee dan Wany Hasrita, boleh dapatkan secara ‘walk-in’ di Istana Budaya.

“Saya ialah penyelaras dan penerbit konsert ini menerusi syarikat saya sendiri sebab itu saya perlu sentiasa berada di Istana Budaya untuk memastikan perjalanan konsert itu nanti akan mengikut seperti apa yang dirancangkan.

“Tiket masih boleh dibeli. Bagi sesiapa yang masih belum dapatkan, boleh beli di kaunter Istana Budaya,” ujarnya.

Konsert tersebut akan diadakan pada 1 hingga 3 Julai ini, pukul 8.30 malam.