HARI ini, sudah seminggu filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ditayangkan dan ia sudah mencatat kutipan melebihi 23 juta.

Sudah tentu ia kejayaan besar apabila filem epik mengenai pahlawan Melayu itu berada pada senarai teratas, malah mampu mengatasi filem antarabangsa.

Di sebalik kehangatan kisah perjuangan pahlawan Pahang itu menentang penjajah, secara tidak langsung bahang filem ini turut memberi impak pada jualan tanjak.

Kita dapat lihat, ramai penonton lelaki hadir ke panggung wayang memakai tanjak. Secara tidak langsung ia membantu mempopularkan pemakaian busana Melayu itu.

Salah seorang peniaga tanjak yang mahu dikenali sebagai Aidy,28, berkata, filem Mat Kilau turut memberi kesan terhadap jualannya.

“Ya, sejak filem Mat Kilau ditayangkan, jualan tanjak meningkat. Hari Isnin selalunya kami cuti, tapi kami buka juga kedai sebab ramai pelanggan mahu datang membeli tanjak,” ujar Aidy yang berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Aidy mengakui impak filem Mat Kilau turut membantu meningkatkan penjualan tanjak di kedainya yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Dia yang sudah tiga tahun berniaga di situ turut berasa bangga apabila generasi muda sudah ramai menunjukkan minat terhadap tanjak.

“Memang dari dulu kami perkenalkan tanjak supaya ramai yang memakainya kembali. Kami turut kasual kan rekaan tanjak kami supaya ia boleh dipakai ke mana saja, bukan semata-mata untuk majlis tradisi. Malah, kami juga jual tanjak yang sesuai dipakai ke stadium untuk menonton perlawanan bola,” menurut Aidy yang kini juga sedang sibuk dengan rekaan tanjak keluaran khas sempena hari kemerdekaan yang akan datang.

Ramai Minta Ajar Silat

Selain tanjak, penangan filem Mat Kilau turut melonjakkan permintaan kelas silat. Ia turut diakui oleh Akmal Affendee Abdul Razak, seorang bekas guru silat yang juga merupakan koreografer untuk babak-babak pertarungan dalam filem Mat Kilau.

Akmal mengakui mendapat banyak permintaan untuk kelas silat, impak daripada filem Mat Kilau.

Menurut Akmal, sejak filem pahlawan Pahang itu heboh diperkatakan, dia turut menerima tempias apabila ramai menghubunginya mahu mempelajari silat.

“Saya sudah lama berhenti mengajar silat dan kini lebih banyak terlibat dalam bidang seni di belakang tabir sebagai koreografer untuk babak pertarungan. Tapi sekarang disebabkan filem Mat Kilau, ramai yang hubungi saya minta ajar silat semula. Ada yang mahu belajar dan ada pula mahu hantar anak-anak mereka. Ada juga yang minta saya buka gelanggang sendiri,” ujar lelaki berusia 40-an ini.

Akmal (berbaju kelabu) sedang mengajar pelakon di belakang tabir filem Mat Kilau.

Menurut Akmal, dari satu sudut ia membawa kesan yang baik apabila ramai mahu belajar silat terutama generasi muda, sekaligus menaikkan semula seni mempertahankan diri warisan bangsa Melayu ini.

“Seronok juga bila tengok generasi muda semangat nak belajar silat lepas tengok Mat Kilau.Harap-harap semangat mereka berterusan dan kelas-kelas silat ni sentiasa penuh.

“Saya pula kalau nak mengajar tu, tiada masalah. Jika ada yang panggil untuk ajar di tempat yang sudah mereka sediakan, saya ok. Tapi kalau nak buka gelanggang sendiri, itu agak sukar sebab banyak perkara harus difikirkan. Tambahan pula saya juga ada komitmen dalam bidang seni,” kata Akmal yang mula menceburi bidang silat sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Sebelum ini, Akmal banyak terlibat dalam merancang kareografi pertarungan membabitkan drama dan filem-filem box office seperti Abang Long Fadhil, Kl Gengster, KL Special Force,Tombiruo dan banyak lagi.

Akmal banyak terlibat sebagai koreografer pertarungan dalam drama dan filem.

Mengulas tentang pengalamannya di belakang tabir filem Mat Kilau, lelaki berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini berkata, dia berasa puas kerana dalam filem tersebut, dia dapat menggunakan sepenuhnya koreografi persilatan.

Penangan filem Mat Kilau juga, baru-baru ini ada syarikat produksi dari Indonesia sudah mula menunjukkan minat terhadap Akmal.

“Memang ada produksi dari Indonesia bertanya, tapi masih peringkat awal lagi,” ujarnya tersenyum.

Akmal (baju putih) bersama pelakon Indonesia, Yayan Ruhian ketika melawat muzium dan makam pahlawan Mat Kilau.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram