Kelebihan membaca lafaz talbiyah
Sekadar gambar hiasan

Daripada Abdullah bin Umar, katanya,  “Bahawasanya talbiyah Rasulullah s.a.w. ialah Labbaika Allahuma Labbaika, Labbaika la syarika laka labbaika, Innalhamda wan ni’mata laka, wal mulka la syarika laka.”

(Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu, ku patuhi Engkau. Aku patuhi, aku patuhi. Tiada sekutu bagi-Mu. Ku patuhi Engkau, sesungguhnya pujian dan kenikmatan adalah milik Mu saja, begitu pula kekuasaan, tiada sekutu bagi-Mu).

Lafaz talbiyah yang diucapkan jemaah haji mengingatkan kita bahawa itu adalah jawapan kepada seruan Allah. Firman Allah dalam surah al-Hajj: 27,

Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan mu) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai-bagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Dalam Tafsir Ibnu Katsir dijelaskan, ada yang menyebut bahawa Nabi Ibrahim mengatakan, “Ya Tuhanku, bagaimana aku dapat menyampaikan kepada umat manusia sedangkan suaraku tidak mampu menembus mereka?”

Dikatakan kepadanya, “Serulah! Dan kamilah yang akan menyampaikannya.” Nabi Ibrahim pun berdiri di atas maqamnya (tangga atau alas yang digunakan semasa membangunkan Kaabah) dan berkata, “Wahai umat manusia maka tunaikanlah haji kepada-Nya.”

Maka gunung-gunung pun merunduk hingga suaranya menjangkau ke serata penjuru bumi, terdengar oleh bayi di dalam rahim, dan segala sesuatu yang mendengarnya pun menyambutnya berupa batu, tanah dan pohon-pohon serta orang yang ditetapkan oleh Allah akan menunaikan haji hingga kiamat.

Labbaika Allahuma Labbaika (ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu). (Ini adalah kandungan riwayat daripada Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah dan Said bin Jubair).

Sheikh M. S. Al-Munajjid, Pensyarah Kajian Islam Arab Saudi menjelaskan lebih terperinci signifikan dan makna talbiyah. Katanya, ibadat haji adalah penyataan tauhid daripada jemaah sejak mula-mula mengenakan ihram hinggalah akhirnya.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. katanya, “Ketika Rasulullah s.a.w. hendak berangkat dan telah siap di atas kenderaannya yang berdiri di samping masjid Zulhulaifah, Baginda mengucapkan talbiyah seperti ini,

Labbaika Allahuma Labbaika, Labbaika la syarika laka labbaika, Innalhamda wan ni’mata laka, wal mulka la syarika laka.”

Daripada Fadhal r.a. katanya; “Rasulullah s.a.w. sentiasa membaca talbiyah sehingga tiba waktu melontar jumrah.”

Ia adalah untuk melatih jiwa kita agar sentiasa mengingati keesaan Allah dan ikhlas kepada-Nya. Jemaah mulakan hajinya dengan tauhid dan sentiasa mengucapkan kalimat tauhid dan bergerak dari satu ritual ke satu ritual dengan tauhid.

“Rasulullah s.a.w. sentiasa membaca talbiyah sehingga tiba waktu melontar jumrah.” (foto:ROSLAN RAHMAN)

Talbiah mempunyai banyak maksud tersirat antaranya:

Pertama: Labbaika Allahuma Labbaika (Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu) ia adalah jawapan kepada seruan haji, pengucapannya diulang-ulang menjelaskan bahawa seruan itu disahut berpanjangan dan berterusan.

Kedua: Ia juga membawa maksud, “Aku berserah dan terus berserah yang menunjukkan penyerahan berterusan.”

Ketiga:  Ia membawa maksud kekal berpegang pada yang Satu dan berpaut kepada-Nya. Yang mana maksudnya, “Aku berterusan mematuhi Mu.” Ia menekan makna untuk sentiasa menghambakan diri kepada Allah.

Keempat: Salah satu maksud talbiyah adalah mengesahkan cinta Allah.

Kelima: Ia menandakan keikhlasan dan kedekatan, maka ia menekankan makna untuk sentiasa berada hampir dan semakin hampir dengan Allah.

 Talbiyah juga bermaksud:

– Memuji Allah, itulah perkara yang paling baik dilakukan untuk mendekatkan diri dengan Allah.

– Menghargai rahmat Allah, hanya Dia pemberi rahmat dan hanya Dia yang Maha Esa melimpahkan kepada kita.

– Mengakui segala kerajaan adalah milik-Nya dan tidak ada sesiapa pun yang benar-benar memiliki kuasa.

Apabila jemaah membaca talbiyah, mereka akan rasa hubungan akrab dengan seluruh makhluk Allah. Lantaran mereka juga turut sama menyerah dirinya hanya kepada Allah saja dan bergema talbiyahnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada Muslim yang membaca talbiyah melainkan apa saja yang berada di kanan dan kirinya, batu, kerikil dan tanah juga turut membaca bersamanya, juga tempat yang paling jauh, dari Timur dan Barat-bermakna dari kiri dan kanannya.” (At-Tirmizi, al-Bihaqi).

______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare