DALAM sains, cahaya diiktiraf sebagai pergerakan yang paling pantas di alam maya ini. Para saintis telah meletakkan pergerakan cahaya sebagai kayu pengukur untuk kelajuan paling maksimum.

Menurut Albert Einstein, tiada yang mutlak di dunia ini kecuali kecepatan cahaya. Sekalipun pendapat yang diutarakan oleh Einstein ini agak kontroversi, tetapi teori itu telah dibuktikan sahih melalui kajian yang dilakukan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 oleh Michelson-Morley.

Mengikut teori moden sains fizik, cahaya dan semua sinaran elektromagnet bergerak lurus ke semua arah pada kelajuan yang malar di dalam vakum.

Ukuran untuk kelajuan cahaya berkait rapat dengan objek-objek samawi  lain di angkasa raya. Dua sistem iaitu Sinodik dan Siderial digunakan oleh ahli astronomi untuk mengukur pergerakan objek atau sesuatu jarak dalam skala kelajuan cahaya.

Kedua-dua sistem ini didasarkan kepada pergerakan relatif bulan dan matahari. Bagaimanapun, kebanyakan ahli astronomi lebih cenderung menggunakan sistem Siderial yang menjadi dasar perhitungan kalendar Hijrah kerana dianggap lebih tepat.

Menyedari kelajuan cahaya adalah sesuatu yang menarik, ramai pengkaji obses untuk menghitung betapa besarnya kelajuan cahaya yang sebenar.

Seorang ilmuwan matematik dan fizik dari Mesir, Dr. Mansour Hassab Elnaby adalah antara individu yang melakukan kajian bagi mengupas rahsia di sebalik kelajuan cahaya ini.

Pada tahun 1990, Dr. Mansour cuba menghitungnya melalui kiraan tangan, dan apa yang menarik tentang penyelidikan tersebut ialah beliau membuat perkiraan berdasarkan data-data yang disajikan di dalam al-Quran.

Ayat 5, surah As-Sajdah telah dijadikan sebagai rujukan utama dalam penyelidikannya untuk menghitung kelajuan cahaya.

Firman Allah yang bermaksud; “Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu kembali kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya seribu tahun menurut perhitungan mu.”

Dalam bukunya yang berjudul A New Astronomical Quranic Method for The Determination of the Speed, Dr. Mansour menghuraikan secara jelas dan sistematik tentang cara menghitung kelajuan cahaya berdasarkan redaksi ayat-ayat Al-Quran ini. Dalam menghitung kelajuan cahaya, beliau menggunakan sistem yang lazim diguna pakai oleh ahli astronomi iaitu sistem Siderial.

Berdasarkan kepada ayat berkenaan, beliau membuat kesimpulan bahawa ayat tersebut menerangkan tentang jarak yang ditempuh oleh bulan dalam tempoh 1000 tahun iaitu 12,000 bulan.

Kemudian, beliau memasukkan data tersebut ke dalam formula mudah untuk mencari kelajuan cahaya. Formula yang diguna pakai ialah L=J/M, yang mana pemalar J mewakili jumlah pergerakan bulan selama 1000 tahun yang didarabkan dengan jarak masa yang ditempuh bulan dalam satu pusingan iaitu 655.71986 jam, dan didarabkan lagi dengan halaju pergerakan bulan iaitu 3682.07 meter sesaat. Manakala pemalar M mewakili kadar masa pusingan bumi dalam saat iaitu 86,164.0906 saat.

Berdasarkan persamaan matematik itu, hasil hitungan yang diperoleh Dr. Mansour ialah 336,252.3401 km sesaat. Bagaimanapun, nilai itu diperoleh berdasarkan kepada kedudukan bumi yang pegun. Sekiranya diambil kira pengaruh graviti matahari yang menyebabkan sudut revolusi bumi dalam satu bulan Siderial berubah sebanyak 0.89157 darjah, kiraan persamaan itu akan memberikan jawapan 299,792.498 km sesaat.

Ternyata ia sesuatu yang mengejutkan kerana nilai yang didapati adalah  sama dengan kiraan moden yang menggunakan pelbagai peralatan canggih. Jika dibandingkan dengan pengiraan yang dilakukan oleh US National Bureau of Standard, British National Physical Labs ataupun General Conf on Measures, hasil kiraan Dr. Mansour itu mempunyai perbezaan yang terlalu sedikit iaitu kurang daripada 0.05 km sesaat.

Sama ada benar atau tidak, interpretasi yang dilakukan oleh Dr. Mansour Hassab Elnaby menunjukkan bahawa kitab suci Al-Quran mempunyai kaitan secara langsung dalam mengungkap fenomena-fenomena alam.

INFO TAMBAHAN :

  • Sistem Sinodik adalah asas kalendar Masihi. Ia didasarkan kepada pergerakan bulan dan matahari yang dilihat dari bumi. Satu hari Sinodik bersamaan 24 jam, satu bulan sama dengan 29 hari 12 jam 43 minit dan setahun ada 365 hari. Manakala sistem Siderial pula adalah asas kalendar Hijrah yang didasarkan kepada pergerakan bulan dan matahari terhadap bintang dan alam semesta. Satu hari Siderial ialah 23 jam 56 minit 4 saat, satu bulan bersamaan 27 hari 7 jam 43 minit dan setahun ada 354 hari.
  • Antara pengukuran kelajuan cahaya terawal dilakukan oleh ahli fizik Denmark, Olaus Roemer pada tahun 1676. Beliau mengira kelajuan cahaya berdasarkan pergerakan planet Musytari dan bulannya. Dalam pengiraan beliau, Roemer mendapati cahaya bergerak pada kelajuan 227,000 kilometer (km) sesaat. Hasil kerja Roemer itu kemudiannya diperbaiki oleh Albert A. Michelson pada tahun 1926. Michelson menggunakan cermin berputar untuk mengukur masa yang diambil cahaya untuk pergi balik dari Gunung Wilson ke Gunung Antonio di California. Ukuran itu menghasilkan kelajuan 299,796 km sesaat.
  • Pada tahun 1999, sekumpulan saintis yang diketuai oleh Lene Hau telah menunjukkan bahawa kelajuan cahaya boleh diperlahankan. Dalam satu eksperimen yang dinamakan sebagai kondensasi Bose-Einstein, mereka berjaya mengurangkan kelajuan cahaya sebanyak 17 meter sesaat.
  • Pada penghujung 2012, sekumpulan ahli fizik telah menemui sejenis partikel yang dinamakan sebagai Neutrino boleh bergerak lebih laju daripada cahaya. Dalam uji kaji yang dilakukan di Pusat Penyelidikan Nuklear Eropah, Switzerland, partikel itu didapati bergerak selaju 300,006 km sesat.
  • Untuk sampai ke bumi, cahaya bulan hanya mengambil masa sekitar 1.4 saat sahaja. Manakala cahaya matahari pula mengambil masa lapan minit 17 saat.
  • Cahaya juga digunakan untuk ukuran jarak. Jika satu saat cahaya melangkaui jarak 299, 792.458 km, maka satu minggu cahaya bersamaan dengan 181,314,478,598.4 km, satu bulan cahaya ialah 777,062,051,136 km dan satu tahun cahaya pula bersamaan 9,460,730,472,580.8 km atau 9.46 petameter.
  • Jika kelajuan semakin bertambah, masa akan bergerak lebih perlahan. Sekiranya seseorang itu mampu bergerak selaju cahaya, maka sains mengandaikan bahawa masa di sekelilingnya akan turut terhenti.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’