SELEBRITI terkenal Neelofa ternyata terlebih dahulu mengetahui pergolakan rumah tangga yang dialami oleh pelakon Puteri Sarah dan menyatakan bahawa apa yang berlaku sangat melampau.

Bekas pengacara MeleTOP itu meninggalkan komen kepada perkongsian video terbaharu di Instagram pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 36, itu mengenai kes saman terhadap Ira Kazar.

Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor berkata, dia sendiri tidak sanggup jika berhadapan dengan situasi sebegitu dan turut memuji sifat ketabahan pelakon itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Sarah tak mahu maruah terus dipijak, nekad saman Ira Kazar

“Kita borak banyak mengenai perkara ini, sampai saya sendiri tak tahu nak kongsikan nasihat apa. Sebab terlalu teruk pihak ketiga punya buli terhadap awak (Puteri Sarah).

“Masa itu ramai orang tak tahu lagi. Saya sendiri tak sanggup nak hadam apatah lagi awak yang kena lalui.

“Memang awak ni seorang yang terlalu sabar dan kuat. Satu perkara yang saya sangat terkesan, walaupun apa yang jadi, awak sangatlah nak jaga rumah tangga awak, awak jaga aib suami awak. Awak banyak mengalah.

“Moga Allah gantikan segala kesakitan, kepedihan, setiap air mata awak yang mengalir kepada kebahagiaan yang berterusan. Amin,” tulisnya.

Komen Neelofa di Instagram Puteri Sarah yang kagum dengan ketabahan pelakon itu mempertahankan rumah tangga

Puteri Sarah kemudiannya membalas komen itu dengan berterima kasih kepada Neelofa kerana selama ini menjadi tempat dia meluahkan perasaan.

“Terima Kasih awak. Selama ni saya menangis dekat awak dan akhirnya. Terima kasih ajarkan saya segala doa-doa,” balasnya.

Pada 20 Jun lalu, Puteri Sarah mengambil tindakan saman terhadap Ira Kazar yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof, 38.

Selain Neelofa, rakan-rakan artis yang lain dan netizen juga turut meninggalkan komen mendoakan agar Puteri Sarah sentiasa tabah menghadapi ujian ini.

“Allah sentiasa bersama awak dan keluarga. Saya doakan yang baik-baik kak,” komen Aishah Azman.

“Moga dipermudahkan segala urusan,” tulis Wani Kayrie.

“Lawan adik. Saya tahu awak adalah seorang ibu yang baik. Bismillah,” komen Lufya Omar.

Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan memiliki sepasang cahaya mata.